Tribute to Teachers

Jejak Pendidik

Jejak Pendidik, suatu ruang di laman SDAR Glorious 90  yang dikhaskan bagi memperingati dan merakamkan penghargaan kepada warga pendidik yang pernah menyemai ilmu kepada kita sepanjang 5 tahun kita di Lembah Sikamat.

Jejak Pendidik melalui coretan-coretan ringkas juga memberi peluang untuk kita mengetahui serba sedikit perihal peribadi para guru, yang sewaktu di sekolah tidak mungkin kita ketahui atau berani untuk bertanya. Barangkali pada zaman itu masih ada jarak emosi dan protokol yang ketara di antara guru dan pelajar, berbanding masa kini.

Cikgu Latif adalah antara guru-guru yang paling kerap kita berinteraksi dengan semasa kita baru bertapak di SDAR. Hampir setiap program semasa minggu orentasi pasti akan kelihatan Cikgu Latif, sama ada memberi memberi taklimat mahupun memantau perlaksanaan aktiviti. Bagi kami yang menyertai pasukan pengakap, hoki dan jimnastiks, interaksi rapat dengan Cikgu Latif berlanjutan sehingga ke penghujung tempoh belajar di SDAR.
Penulis menyantuni Cikgu Latif di kediaman beliau di Parit Sulong, Johor dan beliau berlapang hati mengizinkan liku-liku kerjaya beliau dirakamkan dalam rencana ini. Ini merupakan kali pertama kisah seorang warden kita dipaparkan menerusi ruangan Jejak Pendidik.

BACA RENCANA PENUH

Kita pasti tidak lupa nyanyian Cikgu Safian berkumandang di Dewan SDAR, guru Geografi & Sejarah kita yang memiliki suara lunak merdu yang sering dipanggil membuat persembahan untuk majlis-majlis di SDAR. Bukan senang kita dapat seorang guru yang tidak segan beraksi di pentas menghiburkan kita. Di sebalik bakat menyanyi itu, Cikgu Safian dalam kerjaya penguruan dikenali bukan sahaja sebagai guru Geografi dan Sejarah yang cemerlang malah seorang perancang strategi yang bijak dalam menaikkan prestasi akademik SDAR.

Cikgu Safian adalah seorang pendidik yang menemui kerjaya impian beliau secara tidak sengaja atau dalam istilah bahasa inggeris, “an accidental educator”. Haluan yang tidak terancang ini telah mendatangkan bukan sedikit sanjungan dan penghormatan daripada pelajar-pelajar dan dalam kalangan rakan-rakan guru juga. Malah beberapa orang guru kita menganggap Cikgu Safian sebagai ‘mentor’, seorang guru yang dicontohi cara kerjanya yang sangat teratur dan sistematik. Lebih menakjubkan, guru-guru tersebut lebih awal mengajar di SDAR daripada Cikgu Safian!

BACA RENCANA PENUH

Cikgu Normah Abd Karim boleh disifatkan sebagai seorang yang amat kental (fiesty). Guru Sejarah SRP kita ini tidak pernah patah semangat menghadapi dugaan hidup. Semenjak kanak-kanak Cikgu Normah mengidap penyakit ‘asthma’, kerana itu ada perkara-perkara yang ingin dilakukan beliau tergendala, malahan ada yang terpaksa dilupakan. Meskipun menghadapi kekangan, Cikgu Normah sentiasa berjaya mencari alternatif. Sifat ini dibawa beliau sepanjang tempoh menjadi guru, dan sehingga sebagai seorang pesara kini.
Cikgu Normah sudi menerima kunjungan penulis dan rakan kita Megat Khairul ke rumah beliau di Kuala Pilah baru-baru ini, memberi peluang kita intai-intai latar belakang, kerjaya dan juga kehidupan beliau kini.

BACA RENCANA PENUH

Semasa mengajar di SDAR, Cikgu Munahwar Sultanah berpadu dengan dua orang guru lain membentuk pasangan guru yang meninggalkan kesan yang sangat mendalam, bukan setakat akademik malahan kehidupan kita, pelajar SDAR90. Cikgu Munahwar bersama Cikgu Norzila Idris adalah ‘duo’ yang bagaikan ‘ibu’ kepada pelajar-pelajar 5 Khaldun selaku guru kelas dan guru mata pelajaran utama. Manakala bersama Cikgu Khalijah Ibrahim pula, beliau menjadi pasangan pendidik Bahasa Melayu SDAR yang progresif, tunjang kepada usaha-usaha memantapkan kita menghadapi peperiksasan Bahasa Melayu SPM.

Memiliki nama yang unik dan penampilan yang anggun, Cikgu Munahwar memang seorang yang mudah mencuri tumpuan. Sebagai guru, kebolehan beliau menyampaikan ilmu memang kita sedia maklum. Tetapi ramai di kalangan kita belum tahu sumbangan beliau jauh melangkau batas tugas rasmi demi memperbaiki dan menaiktaraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Akal dan usaha beliau untuk mengatasi kekangan yang dihadapi sesungguhnya menakjubkan. Menerusi sesi wawancara maya bersama penulis, Cikgu Munahwar membawa kita selak-selak jendela kerjaya dan kehidupan beliau.

BACA RENCANA PENUH

Matematik dan cabang-cabangnya sememangnya memberi tanggapan sebagai mata pelajaran yang amat menyulitkan, hanya boleh difahami dengan baik oleh segelintir daripada kita sahaja ketika bersekolah. Di SDAR, Cikgu Goh Lian Kee tergolong dalam sekumpulan guru Matematik yang sangat berpengalaman, di mana mereka seolah-olah memiliki suatu keajaiban melihat Matematik sebagai sesuatu yang sangat mudah. Kita kagum terkebil-kebil di kelas apabila Cikgu Goh memenuhi dua laman papan hijau dengan rumus-rumus, rajah-rajah dan penyelesaian tanpa perlu merujuk kepada buku langsung! Beliau seorang guru yang memiliki tahap kesabaran yang sangat tinggi mengajar suatu mata pelajaran yang bukan mudah difahami.
Balu mendiang Cikgu Goh, Puan Yap See Moi, sudi membawa penulis ini menjejaki kehidupan dan kerjaya guru Matematik kita ini.

BACA RENCANA PENUH

Cikgu Khalijah Ibrahim adalah antara guru Bahasa Melayu tersohor di SDAR, guru yang banyak mencorak gaya penulisan penulis ini. Asalnya tiada kebolehan semulajadi mengarang, penulis ini mendapat bimbingan beliau sehingga hilang segan untuk mencoretkan perenggan-perenggan di kertas bila-bila masa terpanggil. Lenggok beliau ketika menuju masuk ke kelas, aksi lincah beliau ketika mengajar, seolah ada ‘spring’di setiap langkahnya. Semua ini bagaikan menjana tenaga yang mematahkan lamunan, menyegarkan lesu di mata ketika menghadiri kelas beliau. Anehnya, kelas pertama Cikgu Khalijah di SDAR pada 1986 bukanlah berkaitan nahu, kosa kata atau membina ayat. Mata pelajaran apakah yang diajar beliau ketika baru menjadi guru? Cikgu Khalijah yang dihubungi penulis buat pertama kali baru-baru ini selepas 30 tahun, sudi berkongsi kisah peribadi dan kerjaya beliau.

BACA RENCANA PENUH

Sejak di sekolah menengah, Cikgu Ooi sudah pun bercita-cita menceburi bidang perguruan. Sehinggakan beliau ada berangan dirinya menanda buku latihan murid-murid! Walaupun seorang guru yang dilatih khusus untuk mengajar matapelajaran Sejarah, beliau sebenarnya adalah daripada aliran sains semasa di sekolah. Beliau seorang pendidik yang ‘versatile’ dan ini dapat diperlihatkan pertama kalinya apabila beliau melangkah masuk ke kelas 1 Zaaba pada 1986 sebagai guru Bahasa Melayu!, Cikgu Ooi fasih bertutur Bahasa Melayu hasil daripada pergaulan harian di zaman sekolahnya bersama rakan-rakan Melayu. Namun beliau tertawa meningatkan bagaimana di peringkat awal mengajar di SDAR, loghat utara beliau kadang-kadang menjadi bahan gurauan sesetengah pelajar!
Namun SDAR bukanlah sekolah pertama ditugaskan kepada beliau di Seremban. Sekolah manakah yang beliau mula-mula mengajar? Cikgu Ooi menjejak kembali perjalanan kerjaya beliau menerusi sesi wawancara maya bersama penulis baru-baru ini.

BACA RENCANA PENUH

Cikgu Lee Pui Leng (atau lebih dikenali sebagai Miss Lee) adalah antara guru-guru wanita yang paling diingati oleh SDARIANs. Tidak hairanlah beliau sudah beberapa kali menghadiri majlis-majlis ‘reunion’ SDARA, dijemput oleh batch-batch SDARIANs yang menganjur. Di kalangan kita yang hadir tentu ingat ‘gimmick’ pengajur di mana Miss Lee dibawa masuk ke dewan majlis secara membonceng sebuah motor ‘scooter’ yang dipandu oleh seorang lagi bekas guru (En. Zainuddin Abas)! Seterusnya beliau diiringi ke atas pentas lalu mendendangkan sebuah lagu, ber’duet’ dengan seorang SDARIAN. Andainya ketika kita di SDAR dahulu sudah ada media sosial, pasti Miss Lee menjadi guru yang punyai ramai “followers”.

Miss Lee yang kita kenali adalah seorang guru Bahasa Inggeris dan guru yang memainkan lagu kebangsaan dan lagu Berilmu Untuk Berjasa di piano mengiringi nyanyian kita pada setiap perhimpuanan rasmi di dewan SDAR. Dalam tempoh perkhidmatan Miss Lee di SDAR berbagai perisitiwa dan pengalaman yang menarik dilalui beliau, yang belum pernah diceritakan kepada kita sebelum ini. Penulis menemui Miss Lee baru-baru ini, menyingkap kembali kerjaya beliau.

BACA RENCANA PENUH

Pengajaran matapelajaran Pendidikan Agama Islam di tahun-tahun awal kita di SDAR dipegang oleh ustaz-ustaz. Tetapi bermula daripada Tingkatan 4, kehadiran tiga orang ustazah mengubah ‘landskap’ pembelajaran matapelajaran ini untuk kita. Salah seorang ialah Ustazah Mashita Abu Hasan.

Para pelajar kelas 5 Razi 1990 sempat mengikuti kuliah-kuliah Ustazah Mashita. Suatu kelainan ketara dapat dirasai. Yang jelas wujud dialog yang lebih rancak di antara pelajar dengan seorang guru agama, seolah-olah suasana kelas itu lebih ‘hidup’.

Masuk penggal kedua tiba-tiba kita mendapat guru agama yang lain. Agak luarbiasa bertukar guru di tengah-tengah tahun menduduki peperiksaan SPM. Selama ini kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kini, setelah lebih 30 tahun berlalu, penulis ini mendapat penjelasan daripada Ustazah Mashita sendiri. Baru-baru ini beliau sudi meluangkan masa diwawancara untuk ruang Jejak Pendidik. Ikuti kisah Ustazah kita.

BACA RENCANA PENUH

Bagi kita yang pernah mengambil matapelajaran Perdagangan atau Prinsip Perakaunan, gema suara Cikgu Norzila Idris di kelas pasti ada menyelinap ke ingatan sekali sekala, walaupun lebih 3 dekad sudah berlalu. Penulis ini pernah menerima didikannya semasa di Tingkatan 3 dan masih menyimpan rasa kagum dengan sifat kesabaran beliau yang begitu tinggi mengajar kita… remaja-remaja lelaki yang rata-ratanya cetek penumpuan!
Penulis amat teruja diberi kesempatan mewawancara Cikgu Norzila secara maya baru-baru ini. Ikuti kisah perjalanan kerjaya beliau.

BACA RENCANA PENUH

Pada era kita di SDAR, mendiang Cikgu Navaratnam sudah pun merupakan seorang guru veteran. Waktu itu  beliau adalah di antara 2 atau 3 orang sahaja guru kita yang asalnya memulakan perkhidmatan di SDAR ketika kampus sekolah masih bertapak di Tanjung Malim, Perak. Mereka ikut berpindah ke  Seremban pada 1972 apabila kampus SDAR yang baru itu mula beroperasi.

Sepanjang tempoh kita di SDAR, Cikgu Nava memang dikenali sebagai guru yang mengendalikan pasukan kriket sekolah, selain menjadi guru Seni Perusahaan. Mungkin setakat itu sahaja yang kita tahu selama ini. Melalui ruang Jejak Pendidik ini, kita berpeluang mengenali lebih mendalam latar belakang, kerjaya dan kehidupan beliau di luar daripada sekolah. Penulis ini berkesempatan menjejaki keluarga mendiang dan menemuramah mereka untuk rencana sulung ini.

BACA RENCANA PENUH