Pn. Normah Abdul Karim

Cikgu Normah Abd Karim boleh disifatkan sebagai seorang yang amat kental (fiesty). Guru Sejarah SRP kita ini tidak pernah patah semangat menghadapi dugaan hidup. Semenjak kanak-kanak Cikgu Normah mengidap penyakit ‘asthma’, kerana itu ada perkara-perkara yang ingin dilakukan beliau tergendala, malahan ada yang terpaksa dilupakan. Meskipun menghadapi kekangan, Cikgu Normah sentiasa berjaya mencari alternatif. Sifat ini dibawa beliau sepanjang tempoh menjadi guru, dan sehingga sebagai seorang pesara kini.
Cikgu Normah sudi menerima kunjungan penulis dan rakan kita Megat Khairul ke rumah beliau di Kuala Pilah baru-baru ini, memberi peluang kita intai-intai latar belakang, kerjaya dan juga kehidupan beliau kini.

-Lock Chin Yuan, 10 Dis 2021

Latar Belakang

Cikgu Normah berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau disekolahkan dalam aliran Bahasa Inggeris atas kehendak ayahnya. Ayah beliau berkeras mahu menghantar anak perempuannya ini belajar di sekolah aliran Inggeris walaupun mendapat tentangan ahli keluarga yang sangsi. Cikgu Normah menceritakan,  ayah beliau fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris, malahan dengan sebutan yang mirip orang Inggeris. Ayah beliau  mengakhiri kerjaya sebagai Bentara Kanan (Chief Petty Officer) di pasukan tentera laut British yang berpengkalan di Singapura (ketika Tanah Melayu masih di bawah naungan British).  

Sepanjang kita belajar di SDAR, mungkin hanya pernah dengar Cikgu Normah mengajar dalam Bahasa Melayu sahaja. Semasa sesi wawancara penulis buat pertama kalinya mendengar Cikgu Normah berbicara dalam Bahasa Inggeris, berselang-seli dengan Bahasa Melayu loghat Negeri Sembilan. Perbendaharaan kata Bahasa Inggeris yang digunakan Cikgu Normah barangkali boleh membuat ramai graduan universiti masa kini terasa segan!

Dalam pertemuan ini, Cikgu Normah telah menyediakan teks yang menceritakan dengan terperinci peristiwa-peristiwa yang mewarnai kerjaya beliau. Penulis merasakan lebih menarik dan asli kita baca kisah guru kita ini yang dinukil beliau sendiri, tanpa banyak pengolahan tambahan.

Zaman Remaja...

“Menjadi guru sememangnya cita-cita saya semenjak kecil lagi. Setiap kali bermain ‘pondok-pondok’ saya akan berperanan sebagai guru. Cita-cita ini turut mendapat dorongan dan sokongan kedua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Di samping itu, saya juga berminat untuk menjadi seorang jururawat. Ramai daripada rakan-rakan sebaya melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di luar negara. Sememangnya itu menjadi buruan pelajar lepasan MCE pada ketika itu. Namun, pada tahun tersebut saya tidak dapat menduduki peperiksaan MCE kerana terlantar di hospital akibat serangan ‘asthma’ yang saya hidapi sejak kecil lagi, kemungkinan kerana ‘stress’. Atas nasihat doktor perubatan yang merawat, saya dicadangkan untuk tinggal di kawasan tepi pantai. Kebetulan pula, kakak saya tinggal di Butterworth, kerana mengikuti suaminya yang merupakan anggota Tentera Udara di sana.
Saya mengulang untuk menduduki peperiksaan MCE di Butterworth.

Namun begitu, keputusan MCE saya ketika itu tidak melayakkan saya untuk menyambung pengajian dalam bidang kejururawatan di luar negara. Tambahan pula, dengan kondisi kesihatan tidak berapa mengizinkan. Dalam peperiksaan MCE, saya memperolehi gred 2 (26 aggregate) sedangkan untuk mendapatkan gred 1 cuma perlu mendapat 24 aggregate. Jadi, saya meneruskan pelajaran di sekolah yang sama di tingkatan 6 selama dua tahun bagi menduduki Higher School Certificate (HSC) dalam aliran Bahasa Inggeris. Gagal untuk melangkah masuk ke universiti kerana tidak memenuhi syarat kelayakan amat mengecewakan saya namun hidup perlu diteruskan. Dengan itu, saya memohon untuk masuk ke maktab perguruan, dan berjaya memasuki Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPM) dalam kursus Pengajian Melayu dan Sejarah, Peringkat Awal Remaja (PMS).”

Cikgu Normah ketika menuntut di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka
Cikgu Normah (kiri sekali) bersama rakan-rakan di maktab perguruan

Awal Kerjaya

“Di MPPM saya menjalani latihan dan pembelajaran selama dua tahun dan tamat pada tahun 1982. Kemudian saya menjalani praktikal di SMK Za’ba, Kuala Pilah selama empat bulan, dan alhamdulillah memperoleh keputusan yang baik.
Saya berkahwin pada 31 Ogos 1982 dan mengikut suami yang bekerja di Kuala Lumpur ketika itu. Posting pertama, saya telah ditempatkan di Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi! Sejujurnya, perasaan ketika itu agak mendebarkan, kerana cuma berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang hanya setahun jagung, manakan mampu saya menggalas amanah dan menggapai harapan pelajar maktab itu. Memandangkan kami baru sahaja berumahtangga, dan sedang mengandungkan anak pertama kami, pelbagai kekangan kami harungi dari segi kewangan, emosi dan yang lebih ketara ialah keadaan kesihatan saya, di mana saya mengalami alahan mengandung yang agak teruk.
Selepas berbincang dengan suami, saya mengambil keputusan untuk memohon pindah ke sekolah yang berhampiran dengan tempat kerja suami saya di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jalan Gurney. Permohonan saya diluluskan oleh pengarah RMC dengan bersyaratkan ada pengganti. Pastinya RMC lebih berbesar hati agar tempat saya digantikan dengan guru yang lebih berpengalaman berbanding saya. Pada 10 Januari 1983 saya ditempatkan di Sekolah Menengah Perempuan Jalan Davis, Pudu. Tidak banyak pengalaman yang saya perolehi di sekolah ini kerana saya hanya mengajar di situ selama dua tahun dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.”

Dipanggil ke SDAR oleh pengetua

“Saya memohon pertukaran bagi mengikuti suami balik ke Seremban pada tahun 1985. Pada mulanya saya ditempatkan semula ke SMK Za’ba. Kemudian saya mendapat panggilan telefon daripada pengetua SDAR pada masa itu iaitu En. Ismail Zam Zam yang memaklumkan bahawa saya perlu melapor diri di SDAR. Aduhai, keluar mulut harimau masuk pula mulut buaya! Mengelak RMC, masuk pula SDAR, sekolah yang hebat.

Saya melapor diri pada 3 Mac 1985, ketika masih dalam pantang bersalin anak yang kedua. Berputar-putar dalam fikiran “Mengapa saya ditempat di sekolah yang hebat ini?, Mampukah saya menggalas tugas ini?”. Sokongan suami menguatkan saya untuk teruskan kerjaya di SDAR. Saya merasa tersangatlah kerdil kerana rata-rata guru di sana semuanya berkelulusan ijazah dan ada juga berpendidikan luar negara. Namun, saya berpegang pada kata-kata arwah abah saya “Segala yang diberikan Allah itu pasti atas kemampuan umatnya”. Cuma, saya perlu kerja lebih kuat agar saya setanding dengan mereka.

Di SDAR, saya mengajar subjek Sejarah sedangkan saya major Bahasa Melayu, tetapi Alhamdulillah, semuanya tetap berjalan lancar. Permulaannya memang banyak cabaran, maklumlah sekolah elit. Saya perlu gandakan usaha dan tekad. Pada masa itu, saya bernasib baik kerana tinggal berhampiran dengan sekolah dan anak-anak diasuh oleh ibu mertua saya sendiri. Jadi saya berkesempatan dan berpeluang untuk bekerja lebih keras. Saya bekerjasama dengan En. Safian Rashid dalam panitia Sejarah. Beliau mengajar pelajar peringkat Menengah Atas manakala saya mengajar Menengah Rendah.

Tahun pertama sememangnya saya kelam-kabut. Namun pelajar dan rakan sejawat banyak memberi sokongan. Pengetua juga banyak membantu dalam memberi semangat. Saya turut menjadi guru pembimbing pasukan Bahas Piala Perdana Menteri, di mana pasukan SDAR memang hebat dan digeruni pada ketika itu. Alhamdulillah sepanjang khidmat saya di sana, keputusan mata pelajaran Sejarah bagi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) meningkat setiap tahun. Ini adalah hasil kerja keras pelajar SDAR yang hebat dan terpilih itu sendiri dalam menguasai mata pelajaran tersebut. Saya cuma membimbing dan memberi tunjuk ajar sahaja.

Kadangkala saya perlu datang sekolah pada waktu malam untuk membuat kelas tambahan, bagi melatih dan membimbing pelajar untuk menyediakan teks perbahasan atau pidato untuk pertandingan. Waktu itu saya berganding dengan Puan Habibah, seorang guru senior dan berpengalaman. Beliaulah yang membimbing saya dalam menguruskan pasukan bahas SDAR.

Saya juga merupakan guru penasihat Badan Redaksi. Saya bernasib baik kerana AJK Badan Redaksi ketika itu mengumpulkan pelajar yang berbakat dan dedikasi. Kebanyakan tugasan mereka sendiri yang menguruskan, saya cuma membimbing dan memberi tunjuk ajar serta membuat proof-reading dan editing sahaja. Mereka sangatlah berbakat.

Cikgu Normah (duduk, keempat dari kiri) bersama sidang redaksi SDAR, 1989

Istimewanya di SDAR, guru-guru dapat fokus mengajar dan lain-lain aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), dan tidak dibebani kerja-kerja perkeranian seperti mengutip yuran dan sebagainya seperti yang lazim berlaku di sekolah harian biasa.

Sebenarnya di sekolah, guru bukan sekadar mengajar. Guru juga menjadi ibu bapa dan sahabat. Ada masanya saya terpaksa membawa pulang pelajar baru yang bermasalah dalam menyesuaikan diri di asrama, ke rumah.

Antara memori yang tidak dapat saya lupakan sewaktu di SDAR ialah ketika kami menerima tetamu dari King’s College, Thailand. Pelbagai aktiviti dijalankan bagi menarik minat mereka.
Selain itu terdapat juga memori yang mengguris hati dan masih kekal di benak fikiran, apabila saya dipanggil pengetua kerana terdapat seorang pelajar mengadu yang saya tidak hadir ke kelas. Saya sememangnya membuat satu buku rekod kehadiran pelajar dalam kelas saya pada setiap hari. Apabila disiasat, pelajar yang mengadu tersebut sebenarnya dia yang sering tidak hadir ke kelas untuk berlatih pancaragam dan ragbi, di mana selepas tamat latihan dia terus masuk ke bilik asrama kerana terlalu penat. Walau bagaimanapun beliau telah meminta maaf atas kejadian tersebut.

Berkhidmat di SDAR banyak mendidik saya erti tolak ansur, kecekalan, sabar, bertimbang rasa serta gigih dalam menjalankan amanah. Rakan setugas banyak membantu dalam menjalankan tugasan. Pihak pengurusan juga sangat supportive.”

Cikgu Normah Abdul Karim... sepintas lalu

Cikgu Normah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 2004
dari arkib peribadi....hasil usaha Cikgu Normah dalam memperkenalkan Adat Pepatih kepada pelajar

Kelahiran:  Kuala Pilah, NEGERI SEMBILAN (20 Jun 1957)

Pendidikan:

Sekolah Menengah Tunku Kurshiah, Kuala Pilah, NS
MCE – Sekolah Menengah St. Mark, Butterworth, PULAU PINANG , 1976
HSC – Sekolah Menengah St. Mark, Butterworth, PULAU PINANG , 1978

Sijil Perguruan – Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM), MELAKA, 1982

Kerjaya:

Guru

Sekolah Menengah Perempuan Jalan Davis, KL (1983-1984)
SDAR (1985-1992)
SMK Za’ba, Kuala Pilah, NS (1993-2004)

SK Kepis, Johol, NS (2005 – 2008)
SK Sungai Dua, Kuala Pilah. NS (2009-2013)

Guru pembimbing pasukan SDAR, Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri
Guru penasihat sidang Redaksi SDAR

AJK Persukuan Adat Perpatih yang dikelolakan bersama Muzium Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri melibatkan aktiviti pameran, persembahan, kuiz dan sebagainya yang diadakan setiap tahun menjelang Hari Keputeraan Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2004)

Keluarga:

Berkahwin dengan En.Jamaluddin Bin Abd Wahid pada 31 Ogos 1982. Dikurniakan lima orang anak, kini mempunyai tujuh orang cucu.

Pernah memberi khidmat andaman kepada pengantin-pengantin sebagai pendapatan sampingan menyara keluarga

Warga SDAR90 iaitu Hazri Tohar adalah anak saudara kepada Cikgu Normah

Pasca SDAR....kembali ke daerah kelahiran

Setelah tujuh tahun bersama SDAR, Cikgu Normah meminta untuk berpindah ke kampung beliau bagi memudahkan beliau menjaga ayah beliau yang kian uzur. Pada 4 Januari 1993 Cikgu Normah kembali berkhidmat di SMK Za’ba, Kuala Pilah buat kali ketiganya.
Selain daripada itu, pada dekad 1990an guru-guru lulusan Maktab Perguruan beransur berkurangan di SBP sebab persaraan dan ada juga guru-guru angkatan ini yang kembali belajar di universiti, dan digantikan dengan guru-guru lulusan ijazah. Dalam senario sedemikian, Cikgu Normah merasakan pengalaman luas beliau akan lebih bermanfaat di sekolah harian, di pekan yang lebih kecil. Dengan perpindahan ini, beliau kali ini menggalas cabaran mengajar  matapelajaran yang di luar bidang asal beliau!

“Walaupun saya pernah menjalani latihan dan sempat bertugas di SMK Za’ba sebelum berpindah ke SDAR, namun kehadiran saya pada kali ini sangat berbeza. Pada mulanya saya mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup kerana tiada kekosongan dalam matapelajaran Sejarah mahupun Bahasa Melayu. Saya mengalami kejutan budaya kerana di SDAR, pelajarnya terdiri daripada pelajar cemerlang, manakala para pelajar SMK Za’ba adalah daripada pelbagai latar belakang. Saya perlu berkerja lebih keras kerana pelajar-pelajar ini memerlukan bimbingan lebih dan ramai juga pelajar yang kurang motivasi untuk belajar.

Pernah satu ketika saya dibawa ke balai polis atas tuduhan mendera pelajar. Bagaikan satu kewajipan, saya menyimpan rekod kehadiran pelajar dalam kelas. Ketika itu, Lembaga Peperiksaan mewajibkan pelajar untuk menghasilkan Laporan Kajian Tempatan untuk mata pelajaran Sejarah. Untuk dijadikan cerita, pelajar tersebut tidak menghasilkan tugasan mengikut aturan seperti yang ditetapkan. Saya bertindak memarahi pelajar itu dan mengetuk tangannya menggunakan buku teks sahaja. Tup-tup dilaporkan ke pihak polis. Akhirnya, bapa pelajar tersebut menarik balik laporannya setelah saya menunjukkan bukti dan penerangan tentang tingkah laku anaknya.

Selain itu, saya juga pernah mendapat aduan yang saya tidak masuk mengajar kerana penjaga melihat buku latihan anaknya yang tidak lengkap. Namun, saya mempunyai bukti yang kukuh dengan buku rekod kehadiran, tapi buku itu telah dimusnahkan pelajar tersebut. Nasib baik saya ada salinannya. Pelajar ini juga menuduh saya mengutip RM30 daripada setiap pelajar untuk membeli hadiah perpisahan buat guru yang akan pindah. Sedangkan duit yang dikatakan itu telah digunakan oleh pelajar ini untuk mengupah seorang pelajar untuk memusnahkan buku rekod kehadiran pelajar dalam kelas saya. Betapa kecilnya dunia, pelajar yang diupah itu kini adalah adik ipar saya!

“Semasa di SMK Za’ba, antara peranan saya termasuklah:

a)Guru pembimbing pasukan bahas, berbalas pantun dan syarahan
b)Guru penasihat Persatuan Bahasa dan Budaya, dimana saya membimbing pelajar dalam aktiviti koir dan tarian tradisional.
c) AJK Keceriaan Sekolah, pernah menghadiri bengkel landskap anjuran Majlis Daerah Kuala Pilah
d) Guru penasihat Persatuan Sejarah sekolah

e) Melancarkan Gerakan Projek Kecemerlangan pelajar PMR dalam mata pelajaran Sejarah yang saya namakan sebagai “Test Power”.

…di mana saya menghimpunkan set-set soalan yang telah dibincangkan dan dibina dalam bengkel. Saya memperbanyakkan pemberian soalan latih tubi kepada pelajar menjelang hampir tarikh PMR. Alhamdulillah usaha ini membuahkan hasil membanggakan, keputusan peperiksaan meningkat setiap tahun sehingga mendapat perhatian pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah yang meminta kami untuk berkongsi dengan sekolah-sekolah lain.”

Beralih berkhidmat di sekolah rendah

Di dekad terakhir kerjaya Cikgu Normah, beliau mengambil langkah yang tidak lazim dilakukan. Kali ini, bukan sahaja bertukar ke sekolah rendah, malah mengajar dalam Bahasa Inggeris. Agak luar biasa peralihan  ketara sebegini, namun Cikgu Normah  sekali lagi melakukan transformasi untuk memikul tugas baru ini.

“Setelah 12 tahun berkhidmat di SMK Za’ba, saya membuat keputusan untuk bertukar mengajar di sekolah rendah. Saya diberi peluang mengajar di sekolah rendah dengan syarat perlu mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Akhirnya saya menerima cabaran itu. Saya merasakan saya perlu membuat perubahan agar kekal releven dalam bidang ini. Saya juga ingin berubah selera, mengajar Bahasa Inggeris pula.
Di usia yang menjangkau 50an, saya perlu ‘relax’ sedikit. Mengajar di sekolah rendah hanya sehingga jam 1tengahari dan kurang aktiviti-aktiviti sampingan.
Mengajar di SK Kepis, Johol turut memberi kejutan besar dalam perjalanan kerjaya saya, walaupun pada dasarnya saya sudah bersedia untuk beranjak dari takuk yang lama. Bukannya disebabkan mengajar subjek yang belum pernah saya lakukan, tetapi dalam melayan kerenah pelajar sekolah rendah yang memerlukan perhatian lebih berbanding pelajar-pelajar saya sebelum ini yang sudah lebih matang. Tambahan pula, cabaranya mengajar di sekolah kawasan luar bandar.
Saya mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk menyesuaikan diri dalam suasana baharu ini. Syukur saya tidak mempunyai masalah dalam mengajar Bahasa Inggeris dan Sains dalam Bahasa Inggeris kerana saya berpendidikan sekolah aliran Inggeris, dan saya mendapat peluang untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan, (PIERS) bagi memantapkan pengajaran saya.”

Cikgu Normah (berdiri, kiri sekali) bersama staf SK Sg. Dua, Kuala Pilah

Persaraan

“Saya pernah ditawarkan jawatan Guru Penolong Kanan tetapi ditolak kerana tidak berhasrat dipindahkan ke sekolah luar daripada Kuala Pilah. Setelah menyiapkan projek dua buah pondok bacaan untuk SK Kepis, akhirnya saya memohon untuk kembali ke Kuala Pilah.

Saya memulakan tugas di SK Sungai Dua, Kuala Pilah pada 4 Januari 2009 sebagai guru Bahasa Inggeris dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Selain itu saya juga ditugaskan sebagai Ketua Panitia Kajian Tempatan dan sempat mewujudkan galeri Kajian Tempatan.  Di SK Sungai Dua, saya lebih ‘relax’ kerana ramai guru yang lebih muda dan bertenaga. Saya bersara pada 20 Jun 2013 setelah berkhidmat lebih 30 tahun.

di hari persaraan, Jun 2013
Cikgu Normah diraikan di majlis persaraan, bersama suami

Sebelum penularan wabak COVID19, kediaman Cikgu Normah di Kampung Dioh, Kuala Pilah biasanya sibuk dan riuh dengan kujungan para belia kampung. Mereka datang mengikuti bimbingan dan tunjuk ajar beliau dalam berbagai-bagai aspek pengetahuan dan kemahiran. Sesudah bersara pun Cikgu Normah masih tidak henti-henti menurunkan ilmu kepada generasi muda dan berkhidmat dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kampung beliau. Cikgu Normah juga kekal giat dalam tugas-tugas sebagai ahli sebuah parti politik yang disertai beliau sejak masih muda.
Setelah bersara, aktiviti pertanian turut menjadi sebahagian rutin Cikgu Normah. Sayuran kelihatan tumbuh segar di halaman kediaman beliau yang luas.

...bersama keluarga

Terima kasih Cikgu Normah! Penat lelah mu dihargai kami