
Cikgu Ooi Ai Ngoh merupakan salah seorang daripada seangkatan guru muda yang memulakan perkhidmatan di SDAR pada tahun yang sama kita mendaftar masuk. Kebanyakan guru daripada angkatan ini pernah mengajar kelas-kelas kita dan beliau tidak terkecuali.
Sejak di sekolah menengah, Cikgu Ooi sudah pun bercita-cita menceburi bidang perguruan. Sehinggakan beliau ada berangan dirinya menanda buku latihan murid-murid! Walaupun seorang guru yang dilatih khusus untuk mengajar matapelajaran Sejarah, beliau sebenarnya adalah daripada aliran sains semasa di sekolah. Beliau seorang pendidik yang ‘versatile’ dan ini dapat diperlihatkan pertama kalinya apabila beliau melangkah masuk ke kelas 1 Zaaba pada 1986 sebagai guru Bahasa Melayu!, Cikgu Ooi fasih bertutur Bahasa Melayu hasil daripada pergaulan harian di zaman sekolahnya bersama rakan-rakan Melayu. Namun beliau tertawa meningatkan bagaimana di peringkat awal mengajar di SDAR, loghat utara beliau kadang-kadang menjadi bahan gurauan sesetengah pelajar!
Namun SDAR bukanlah sekolah pertama ditugaskan kepada beliau di Seremban. Sekolah manakah yang beliau mula-mula mengajar? Cikgu Ooi menjejak kembali perjalanan kerjaya beliau menerusi sesi wawancara maya bersama penulis baru-baru ini.
8 Ogos 2021 Lock Chin Yuan
Mulanya di sini...berhijrah ke Seremban


Demi kerjaya, Cikgu Ooi buat julung kalinya meninggalkan kampung halaman di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan berhijrah ke Seremban. Cikgu Ooi mengakui dirinya kurang pendedahan di luar daripada Pulau Pinang pada waktu itu, dan Seremban seolah suatu tempat yang sangat asing baginya. Hari pertama beliau memulakan tugas sebagai guru adalah sebenarnya di Kolej Tunku Kurshiah (TKC)! Namun begitu jodoh Cikgu Ooi tidak lama dengan TKC. Kebetulan ketika itu SDAR amat memerlukan seorang guru Sejarah manakala TKC pula memerlukan seorang guru Matematik. Persetujuan tercapai antara kedua-dua pihak untuk pertukaran, dan dengan itu Cikgu Ooi berpindah ke SDAR selepas hanya dua minggu di TKC.
Pengalaman pertama kali berjauhan dari kampung halaman itu, tidak kira dialami ketika sudah dewasa mahupun ketika di usia awal belasan tahun seperti kita, perasaan gundah dan rindu dalam hati tetap sama. Begitulah yang dialami Cikgu Ooi semasa bulan-bulan awalnya di SDAR, di sebalik wajah ceria beliau di kelas. Beliau mendedahkan, setiap kali hati suram dengan kehibaan mengingati keluarga yang jauh, beliau akan menatapi wajah-wajah kita pelajar tingkatan satu. Daripada kitalah, budak-budak kerdil dan ‘innocent’ ketika itu, beliau menyerap semangat untuk mewajakan diri. Cikgu Ooi bertanyakan dirinya: “jika budak-budak semuda mereka sudah boleh hidup berjauhan dari keluarga, mengapa tidak saya?”. Bagi Cikgu Ooi, daripada segi kebolehan menghadapi perubahan hidup, kita pelajar-pelajar SDAR lebih banyak ‘mengajar’ beliau. Beliau mengganggap kita sebagai ‘hero-hero’ yang menyentap perasaan murungnya, penyuntik kecekalan untuk beliau mengharungi suasana hidup yang baru.
Guru-guru seperti Pn Normah Karim, Pn Chin Keong Hin, Cik Lee Pui Ling, Cik Chong Suet Leng banyak membantu Cikgu Ooi menyesuaikan diri di SDAR dan Seremban. Tetapi apabila ditanya siapakah mentor beliau ketika masih seorang guru muda, nama yang disebutkan agak tidak disangka. Cikgu Ooi memberitahu, guru Geografi kita iaitu Cikgu Safian Rashid merupakan seorang rakan yang banyak memberi sokongan dan bimbingan kepada beliau. Sungguhpun Cikgu Safian menyertai SDAR setahun lebih lewat daripadanya, Cikgu Ooi melihat beliau sebagai seorang guru yang patut dicontohinya, penuh dengan idea-idea segar dan sangat berdedikasi terhadap tugas dan anak-anak murid.

Sebelum berkhidmat di TKC dan SDAR, pendedahan Cikgu Ooi kepada konsep SBP hampir tiada. Ada adegan-adegan yang lazim berlaku di SBP memberi kejutan kepadanya. Masih segar di ingatan Cikgu Ooi, pada suatu tahun semasa minggu orentasi seorang ‘freshie’ menangis-nangis berlari mengejar kenderaan keluarganya yang sedang meninggalkan perkarangan kampus! Bergenang air mata Cikgu Ooi ketika itu.
Bila dikenang kembali, Cikgu Ooi berasa amat bersyukur beliau mendapat tempat untuk menjadi guru di Seremban sejurus selepas tamat pengajian (tidak sempat pun menghadiri konvokesyen!). Masa itu kita masih terlalu muda untuk menyedarinya – pada pertengahan 1980an negara sedang mengalami kegawatan ekonomi yang amat teruk. Graduan-graduan pada masa itu menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan. Ramai rakan-rakan universiti Cikgu Ooi menunggu hampir setahun sebelum mendapat tempat untuk mengajar.
Cikgu Ooi Ai Ngoh... sepintas lalu

Kelahiran: Pulau Pinang (1962)
Pendidikan:
SPM – SMK Sungai Ara, P. PINANG
STPM – Sekolah Menengah Penang Free, P. PINANG
Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (1986)
Kerjaya:
Guru :
NEGERI SEMBILAN
TKC: Mei 1986
SDAR: Mei 1986 – Dis 1990
SELANGOR
SMK RAJA MAHADI, Klang: 1991-1992
SMK Subang Utama : 1993 – June 1996
SMK Bandar Sunway: 1998 – 2001
1996-June 1998 – Cuti tanpa gaji (mengikut suami yang ditugaskan ke Beijing, China)
Pengajar jemputan untuk subjek Sejarah Malaysia – Fakulti Pengajian Bahasa Melayu, Beijing Foreign Studies University, China
PULAU PINANG
SMK Bukit Gambir: 2002 – 2003
SMK Sungai Nibong: 2004 – kini
Ketua Panitia matapelajaran Sejarah
Guru Penasihat Kelab Kembara
Guru Penasihat St. John Ambulance
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
Pasca SDAR....dimensi cabaran yang berbeza


Tamat sesi persekolahan tahun 1990, Cikgu Ooi berkahwin dan berpindah ke Selangor di mana beliau mengajar di beberapa buah sekolah sehingga 2001. Berikutnya beliau berpindah kembali ke negeri asal apabila suami beliau ditugaskan ke Pulau Pinang.
Walaupun mengajar matapelajar Sejarah adalah kemahiran utama, Cikgu Ooi pernah mengendalikan berbagai kelas sepanjang kerjaya beliau. Antaranya adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Sivik, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Semasa ditugaskan di sebuah SBP, cabaran kepada guru adalah lebih kepada memastikan prestasi akademik yang cemerlang dikekalkan. Bila dikenang kembali sekarang, Cikgu Ooi merasakan sewaktu di SDAR, tugas beliau banyak disokong dengan kemudahan-kemudahan yang lebih lengkap dan pelajar-pelajar yang secara umumnya mempunyai kebolehan dan asas penguasaan akademik baik. Bilangan pelajar dalam satu kelas pun jauh lebih rendah. Namun setelah bertukar ke sekolah harian biasa, dimensi cabaran yang Cikgu Ooi hadapi berubah ketara. Di sekolah harian biasa, beliau perlu berhadapan dengan pelajar yang datang dari pelbagai latar belakang sosial ekonomi dan pelbagai tahap penguasaan akademik. Adalah perkara yang biasa, bertemu dengan pelajar yang masih belum menguasai 3M atau pelajar yang bermasalah kehadiran kerana terpaksa kerja sambilan untuk membantu keluarga. Walau bagaimanapun, semua ini semua ini cuma sebahagian kecil ranjau-ranjau dialami guru di sekolah biasa. Ujar Cikgu Ooi, beliau sentiasa mengingatkan diri agar golongan pelajar yang bermasalah ini tidak diabaikan, malah diberi perhatian dan kasih yang sama tidak kira kedudukan social mahupun keupayaan akademik. Sungguhpun begitu, Cikgu Ooi beranggapan bahawa kepelbagaian latar belakang dan jurang lebar yang wujud di kalangan pelajar-pelajar sekolah biasa (berbanding dengan keseragaman di SDAR) ada tarikannya tersendiri dan telah melatihnya menjadi pendidik yang lebih matang.
Apabila berbicara tentang evolusi sukatan pelajaran Sejarah sekolah menengah, Cikgu Ooi menyatakan bahawa beliau telah pun melalui beberapa semakan dalam kerjayanya yang panjang ini. Setiap kali semakan sukatan pelajaran berlaku, guru-guru perlu melakukan penyesuaian.
Bagi Cikgu Ooi, mata pelajaran Sejarah sekarang lebih mencabar untuk guru dan juga pelajar berbanding dengan zaman kita dulu. Zaman kita, subjek Sejarah lebih kepada melahirkan pelajar yang arif dan peka sejarah dan memupuk semangat setia negara dan patriotism. Pada hari ini, ia lebih bersepadu iaitu kesepaduan pengetahuan Sejarah, kemahiran Sejarah, kemahiran abad 21 dan penyerapan nilai-nilai.
Cara penilaian dan pentaksiran sekarang juga berbeza. Pelajar bukan dinilai keupayaan menguasai fakta dan kefahaman sahaja , tetapi juga kemahiran mereka menjana idea berdasarkan fakta sejarah silam dan isu sejarah semasa. Ini yang dikatakan KBAT atau Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Cikgu Ooi berpendapat, tanpa penguasaan Bahasa Melayu yang kukuh, agak sukar untuk seseorang pelajar mengungguli peperiksaan Sejarah sekarang.


Di Ambang Persaraan
Cikgu Ooi bakal bersara wajib tahun hadapan (2022). Setelah hampir 35 tahun menabur bakti membimbing anak-anak bangsa, beliau berhasrat meluangkan lebih masa untuk diri sendiri. Ketiga-tiga anak beliau bermastautin di luar negara dan sibuk membina kehidupan masing-masing. Berjumpa semula dengan anak-anak adalah agenda utama Cikgu Ooi dan suami apabila sempadan negara dibuka semula kelak.