Cikgu Khalijah Ibrahim adalah antara guru Bahasa Melayu tersohor di SDAR, guru yang banyak mencorak gaya penulisan penulis ini. Asalnya tiada kebolehan semulajadi mengarang, penulis ini mendapat bimbingan beliau sehingga hilang segan untuk mencoretkan perenggan-perenggan di kertas bila-bila masa terpanggil. Lenggok beliau ketika menuju masuk ke kelas, aksi lincah beliau ketika mengajar, seolah ada ‘spring’di setiap langkahnya. Semua ini bagaikan menjana tenaga yang mematahkan lamunan, menyegarkan lesu di mata ketika menghadiri kelas beliau. Anehnya, kelas pertama Cikgu Khalijah di SDAR pada 1986 bukanlah berkaitan nahu, kosa kata atau membina ayat. Mata pelajaran apakah yang diajar beliau ketika baru menjadi guru? Cikgu Khalijah yang dihubungi penulis buat pertama kali baru-baru ini selepas 30 tahun, sudi berkongsi kisah peribadi dan kerjaya beliau.
25 Ogos 2021 Lock Chin Yuan
Bertukar haluan dalam kerjaya pilihan
Bidang penulisan merupakan bakat Cikgu Khalijah yang diasah dari awal lagi. Sejak di sekolah rendah lagi karangan beliau sudah disiarkan di majalah Utusan Pelajar. Karya-karya beliau pernah memenangi pertandingan penulisan karangan peringkat negeri Perak semasa di tingkatan 5 dan peringkat kebangsaan semasa di Tingkatan 6. Di sekolah menengah dan universiti, beliau kerap menulis artikel-artikel yang disiarkan di ruangan pendapat pembaca di beberapa penerbitan.
Minat yang mendalam tentang bahasa dan sejarah mendorong Cikgu Khalijah membuat pengkhususan dalam Pengajian Melayu dan Sejarah semasa di Universiti Malaya (UM). Subjek Pengajian Islam juga diambil beliau. Ketika menuntut di UM, kegiatan penulisan Cikgu Khalijah diteruskan selaku ahli sidang redaksi majalah di asrama (ASTAR). Beliau juga giat dalam Persatuan Anak Negeri Perak UM sebagai ahli Jawatankuasa. .
Berlatarkan minat dalam bahasa dan kemahiran mengarang ini, kerjaya pilihan utama Cikgu Khalijah sebenarnya adalah dalam bidang penulisan. Kerjaya perguruan tidak terlintas di fikiran pada waktu itu, sungguhpun abang sulung beliau seorang pendidik (mantan Guru Besar sebuah Sekolah Kebangsaan). Malah beliau pernah memohon jawatan sebagai pengarang di sebuah syarikat penerbitan yang agak popular pada masa itu dan telah dipanggil untuk ditemuduga. Pada masa yang sama juga, permohonan beliau untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di UM diluluskan. Haluan kerjaya pilihan tiba-tiba menghadapi suatu persimpangan.
Menurut Cikgu Khalijah, hati beliau memang lebih cenderung untuk bekerja di syarikat penerbitan. Tetapi di atas nasihat kakak beliau dan juga faktor kegawatan ekonomi negara yang meruncing waktu itu, Cikgu Khalijah memilih untuk mengikuti kursus perguruan, yang dilihat sebagai lebih menjamin masa depan yang stabil berbanding dengan bekerja di sektor swasta.
Tanpa diduga ‘lencongan’ yang diambil beliau itu akhirnya mendatangkan tuah besar kepada SDAR. Tiga dekad beliau mencurah ilmu menghasilkan ribuan SDARian yang terdidik dalam penggunaan Bahasa Melayu, terutamanya dalam aspek penulisan dan berkarya.
3 dekad bersama SDAR
SDAR merupakan sekolah pertama Cikgu Khalijah bertugas, malah seluruh tempoh kerjaya beliau di habiskan di sekolah kita ini. Nama SDAR tidak asing bagi Cikgu Khalijah kerana abang ipar beliau merupakan seorang SDARian di era Tanjung Malim. Walaupun di luar jangkaan, beliau berasa gembira kerana ditugaskan di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Begitupun, sebagai guru muda di suatu tempat dan suasana baharu, cabaran permulaan memang tidak dapat dielakkan. Di bulan pertama bertugas yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan, Cikgu Khalijah berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Seremban, bertukar bas dua kali sebelum tiba di sekolah. Ini ditambah pula ‘dikerah’ mengajar mata pelajaran yang bukan kemahiran utama beliau.
Cikgu Khalijah mengimbau kembali, “Pada masa mula-mula bertugas, saya terpaksa mengajar subjek Pendidikan Islam Tingkatan 1. Walaupun saya mengambil kursus Pengajian Islam tetapi bukanlah untuk menjadi Ustazah. Kursus yang saya ambil ini lebih kepada Tamadun Islam, Sejarah Islam, Hadith, dan Bahasa Arab. Walaupun agak susah hati pada mulanya, tapi saya terima arahan daripada Ketua Panitia Pendidikan Islam ketika itu (Ustaz Abdullah Jusoh) untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam itu dangan hati yang terbuka dan berusaha dengan membaca dan menambah pengetahuan dalam subjek berkenaan”
Penulis ini masih ingat betapa Cikgu Khalijah berasa janggal apabila seluruh kelas 1 Zaaba bangun memberi ucap “Assalamualaikum, Uuuustazaaaah”!
“Janganlah panggil saya ustazah…” minta beliau dengan sengih ‘trademark’nya itu.
Mengajar mata pelajaran Kewarganegaraan kepada pelajar-pelajar A-Level adalah antara tugas awalan Cikgu Khalijah di SDAR. Mulai tahun 1987 barulah beliau bepeluang mengajar Bahasa Melayu sepenuhnya.
Siapakah mentor kepada Cikgu ketika masih seorang guru muda di SDAR?
“Saya menganggap En. Safian Rashid sebagai mentor saya di SDAR. Walaupun beliau junior saya dan mengajar subjek yang berbeza daripada saya (Geografi dan Sejarah), saya mencontohi cara kerja beliau yang sangat sistematik serta sangat kemas dan teratur.”
Cikgu Khalijah Ibrahim... sepintas lalu
Kelahiran:
Parit Buntar, PERAK (15 Jun 1961)
Pendidikan:
SPM (1978), STPM (1980)
SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, PERAK
Sarjana Muda Sastera (Kepujian), UNIVERSITI MALAYA (1985)
Diploma Pendidikan UNIVERSITI MALAYA (1986)
Kerjaya:
SDAR
Guru Akademik: 1986 – 2016
Ketua Panitia : 1988 – 1998 & 2008 – 2011
Guru Kanan Mata Pelajaran: 1999 – 2003
Guru Penasihat Persatuan Bahasa Melayu, Kelab Drama
Guru Pembimbing Bahas Bahasa. Melayu, Pidato DiRaja, Forum Remaja, Drama, Deklamasi sajak
Panel pemeriksa Kertas BM 1 SPM (1987-1992)
Panel Pemeriksa Kertas BM 2 SPM (1995-2016)
Ketua Panel Penggubal soalan Kertas Bahasa Melayu Peperiksaan Percubaan SPM SBP
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 1999, 2009
Anugerah Kecemerlangan Akademik (Subjek Terbaik), 2011
Keluarga:
Mendirikan rumahtangga pada 27 Dis1986, dikurniakan 3 orang anak
Di samping menjadi guru, Cikgu Khalijah membimbing pasukan SDAR untuk pertandingan perbahasan Bahasa Melayu, Pidato DiRaja, drama, forum remaja dan deklamasi sajak. Melatih pelajar-pelajar dalam kegiatan ko-kurikulum sebegini, yang kerap berlanjutan sehingga ke malam, adalah tugas tambahan yang memang digalas beliau atas dasar minat menurunkan ilmu kepada remaja-remaja.
Beliau juga menghasilkan buku kumpulan soalan peperiksaan kertas BM Percubaan SPM SBP yang digubal dgn rakan-rakan guru SBP yang lain.
Pada tahun 2011, SDAR mencapai kedudukan terbaik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM seluruh Malaysia dengan Gred Purata 0.07! Cikgu Khalijah menganggap ini sebagai kemuncak kerjayanya sebagai seorang guru Bahasa Melayu. Dengan kejayaan seperti ini, tiada rasa kesal memilih untuk menjadi seorang pendidik.
Ditanya tentang perbezaan generasi-generasi pelajar SDAR yang pernah lalui didikan beliau, Cikgu Khalijah berpendapat, “pelajar era tahun 2000 sememangnya banyak pengetahuannya berbanding dengan era 80-an. Hal ini disebabkan pelajar-pelajar ini lebih terdedah kepada Teknologi Maklumat, apatah lagi SDAR sendiri merupakan sekolah yang menerima kemudahan untuk menggunakan IT di dalam kelas. Pelajar ada antaranya lebih cekap menggunakan komputer berbanding dengan guru sendiri.”
Dari pengamatan beliau, kepandaian ilmu pelajar-pelajar generasi sekarang kadang-kadang membelakangkan aspek-aspek budi bahasa dan kesediaan untuk membantu guru. Mungkin ini suatu pujian terselindung untuk kita, pelajar generasi 80an?
Walaupun berkhidmat lama di sebuah SBP dan intim dengan sistem persekolahan ini, anak-anak Cikgu Khalijah tidak ada yang bersekolah di SBP. Beliau menyifatkan dirinya seorang ibu yang tidak boleh berjauhan dengan anak-anak. Beliau mendedahkan, “Pengalaman saya melihat seorang pelajar tingkatan 1 yang duduk termenung seorang diri di dewan makan SDAR sambil makan biskut kering dan air teh O, sangat menyentuh hati saya…”
Semasa menjadi guru, pernah Cikgu terfikir untuk berkhidmat di luar daripada sekolah? (misalnya mengajar di maktab perguruan, universiti, bekerja di jabatan pendidikan):
“Saya pernah juga terfikir untuk melanjutkan pelajaran tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan sahaja nmemandangkan anak-anak masih kecil ketika itu.”
“Tetapi saya tidak pula berminat untuk bertugas di sekolah sebagai pentadbir atau di Jabatan Pendidikan atau Kementerian Pendidikan kerana saya memang suka mengajar dan saya sangat suka melatih pelajar dalam kokurikulum walaupun terpaksa datang ke sekolah pada waktu malam.”
Dengan pengalaman mengajar yang begitu kaya, penulis tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan pendapat Cikgu Khalijah mengenai Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP)Bahasa Melayu dahulu berbanding sekarang:
“Sukatan Pelajaran tidak pernah berubah sejak saya mula bekerja sehinggalah saya bersara kerana perkara-perkara yang ditetapkan di dalam Sukatan Pelajaran merupakan perkara asas yang perlu dikuasai oleh pelajar. Penerapan aspek Kemahiran Berfikir dalam PdP juga sudah sedia ada sejak awal lagi, cuma kini ditambah lagi dengan ‘Aras Tinggi’ (KBAT). Malangnya, guru yang bersungguh-sungguh menerapkan KBAT dalam PdP tetapi pelajar malas untuk berfikir dan sentiasa perlu ‘disuap’ walaupun mereka murid SBP. Tetapi saya gembira kerana pada akhir-akhir sebelum bersara, sempat juga saya mengajar di kelas dan di makmal komputer (Makobe..) dengan menggunakan Ipad yang disediakan oleh pihak sekolah.”
Impian Cikgu Khalijah dari segi penambahbaikan PdP Bahasa Melayu di sekolah:
“Saya akan memastikan semua guru Bahasa Melayu (dan kalau boleh semua guru) menguasai tatabahasa yang tepat dalam PdP melalui kursus dan latihan, kerana tanpa penguasaan tatabahasa dalam kalangan guru-guru tidak mungkin pelajar akan menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Sebab itulah kita lihat generasi muda sekarang bahasanya cacamarba.”
“Saya juga berharap agar semua guru Bahasa Melayu akan diwajibkan menanda kertas SPM oleh pihak sekolah kerana setiap maklumat yang diberikan kepada pelajar adalah berdasarkan skema pemarkahan kertas SPM yang sebenar. Pada masa ini semakin kurang guru-guru yang berminat untuk menanda kertas peperiksaan, apatah lagi sejak zaman pandemik Covid 19 ini, penandaan kertas peperiksaan dibuat secara dalam talian. Saya sendiri tidak pasti tentang caranya…”
Pasca Persaraan...masih berbakti
Selepas 30 tahun berkhidmat, Cikgu Khalijah merasakan semakin banyak perubahan yang berlaku dalam PdP dan semakin bertambah tugasan-tugasan lain yang tidak terkejar oleh seorang guru ‘super senior’ seperti beliau. Beliau bersara pilihan pada 1 Jan 2017.
Namun begitu kepakaran beliau masih dipinta berbagai-bagai pihak. Setelah bersara beliau membantu pasukan Forum Remaja dan peserta Pidato DiRaja dari SDAR dan sekolah-sekolah lain dari segi melatih dan menyediakan teks. Mahu kekal memanfaatkan kemahiran yang ada, Cikgu Khalijah masih membantu SDAR menyediakan teks ucapan (baru-baru ini untuk Pengarah Bahagian Pengurusan SBP, KPM), yang dulunya merupakan tugas rutin beliau.
Kini Cikgu Khalijah punyai lebih masa untuk membaca, menyediakan juadah dan menguruskan pokok bunga di kediaman beliau di Senawang, Seremban.
Nota:
Pn. Khalijah bt Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah pada 18 Julai 2024.
Al-Fathihah

