Pn. Hjh. Mashita Abu Hasan

Pengajaran matapelajaran Pendidikan Agama Islam di tahun-tahun awal kita di SDAR dipegang oleh ustaz-ustaz. Tetapi bermula daripada Tingkatan 4, kehadiran tiga orang ustazah mengubah ‘landskap’ pembelajaran matapelajaran ini untuk kita. Salah seorang ialah Ustazah Mashita Abu Hasan.

Para pelajar kelas 5 Razi 1990 sempat mengikuti kuliah-kuliah Ustazah Mashita. Suatu kelainan ketara dapat dirasai. Yang jelas wujud dialog yang lebih rancak di antara pelajar dengan seorang guru agama, seolah-olah suasana kelas itu lebih ‘hidup’.

Masuk penggal kedua tiba-tiba kita mendapat guru agama yang lain. Agak luarbiasa bertukar guru di tengah-tengah tahun menduduki peperiksaan SPM. Selama ini kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kini, setelah lebih 30 tahun berlalu, penulis ini mendapat penjelasan daripada Ustazah Mashita sendiri. Baru-baru ini beliau sudi meluangkan masa diwawancara untuk ruang Jejak Pendidik. Ikuti kisah Ustazah kita.

18 Julai 2021   Lock Chin Yuan

Permulaan Kerjaya

Sewaktu remaja, tidak ramai orang dalam lingkungan pergaulannya menyangka Ustazah Mashita akan menjadi seorang guru agama walaupun bidang pendidikan memang satu-satunya kerjaya sasarannya.  Di zaman persekolahannya di Kolej Islam Klang (KIK), Ustazah Mashita giat dalam perbahasan. Rakan-rakan lebih melihat beliau sebagai bakal guru Bahasa Inggeris! Ibu beliau pula lebih cenderung untuk melihat anaknya ini mengambil jurusan guaman. Perwatakan beliau ketika itu mungkin dianggap jauh menyimpang daripada imej tradisi seorang ustazah. Beliau seorang perempuan remaja yang aktif, petah lidah dan ada ciri kenakalan. Namun begitu, Ustazah Mashita memilih pengkhususan Pendidikan Islam di Universiti Malaya sebagai persiapan menuju cita-citanya menjadi seorang guru.

Belum sempat menarik nafas lega setelah berjaya menamatkan pengajian di UM, menyusul segera arahan untuk memulakan tugas sebagai guru. Pada mulanya, hati beliau meronta juga kerana tidak menyangka akan ditempatkan di SDAR. Barangkali membayangkan cabaran mengajar pelajar-pelajar lelaki, tambahan pula di sebuah SBP yang ternama.

Ustazah Mashita memberitahu, ketika itu para pengetua SBP diberi keutamaan dahulu memilih guru baharu daripada senarai calon-calon yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan. Pengetua kita pada masa itulah yang memilih beliau menyertai barisan guru SDAR.

Maka dengan hati yang masih sedikit berat, Ustazah Mashita memulakan tugas di SDAR pada Mei 1988. Tetapi mengajar dan mendidik adalah naluri beliau. Oleh itu dalam tempoh yang singkat, beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai guru agama yang ‘favourite’ di kalangan pelajar. 

Sifat ramahnya dan tidak lokek  senyuman dengan mudahnya mencairkan suasana  kelas yang lazimnya kontang bincang-bicara. Kaedah beliau memperkenalkan dan mengupas sesuatu topik yang diajarnya dapat mencetuskan keinginan pelajar untuk bertanya lebih lanjut dan memberi ‘response’ di kelas. Malahan kita berani bergurau ringan dengan beliau berkenaan sesuatu topik itu.  “Ustazah pernah ada ‘boyfriend’?”…pertanyaan spontan seorang sahabat kita masih segar di ingatan penulis, ketika kelas membincangkan topik perkahwinan dalam Islam. Suasana kelas jelas lebih meriah dan ada peningkatan interaksi berbanding dahulu untuk matapelajaran ini.

Ustazah Mashita... sepintas lalu

Kelahiran: Petaling Jaya, Selangor (1964)

Pendidikan:

    • Kolej Islam Klang
    • Bachelor of Islamic Studies; Dip. Education, Universiti Malaya (1988)
    • MA in Education, University of Birmingham, UK (2007)

Kerjaya:

Guru – SDAR (1988-1990)

Pensyarah, Pensyarah Kanan – UiTM (1991-2020)            

Pendakwah Bertauliah JAIS

Selesai sepenggal di tahun 1990, tiba-tiba pelajar-pelajar di kelas-kelas Ustazah Mashita mendapati guru-guru lain telah mengambil alih tugasnya dan beliau sudah tidak kelihatan di sekolah. Ustazah Mashita menerangkan, sebenarnya pada masa itu beliau telah meletakkan jawatan dengan notis 24 jam! Pendedahan ini pasti memeranjatkan kita. Jelas ada faktor besar yang membuatkan beliau bertindak sedemikian.

Mengenang kembali peristiwa itu, Ustazah Mashita berkata tahun tersebut beliau baru berkahwin dan tidak lama kemudian hamil anak pertama. Pengalaman hamil kali pertama ini yang dilaluinya berseorangan amat mencabar baginya. Kesihatan beliau dalam tempoh itu mengalami gangguan sehingga menyulitkan perlaksanaan tanggungjawab kritikal mengajar kelas yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Keadaan ini bertambah sukar apabila suami beliau bertugas jauh di Dungun, Terengganu ketika itu dan tiada sistem sokongan keluarga di sisi.

Dilema besar membelenggu Ustazah Mashita. Ini kerana jika kekal mengajar dalam keadaan sedemikian, beliau tidak yakin dapat memberikan yang terbaik kepada para pelajar walaupun menggagahkan diri untuk bertahan. Beliau cuba memohon untuk meletakkan jawatan mengikut protokol, namun ditolak pihak pengurusan sekolah. Kerana itulah akhirnya Ustazah Mashita mengambil keputusan berat meletakkan jawatan dengan serta-merta, meskipun menyedari tindakan ini menutup peluangnya untuk kembali menjadi guru sekolah suatu masa nanti.

Pasca SDAR... melangkah ke kerjaya pensyarah universiti

Sungguhpun  Ustazah Mashita meninggalkan perkhidmatan awam sebagai guru,  cinta beliau terhadap bidang pendidikan tidak pernah malap. Kurang setahun selepas itu,  Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi pentas baharu untuk beliau mengajar. Bermula daripada pensyarah sementara, kemudian pensyarah kontrak dan akhirnya Ustazah Mashita diterima sebagai pensyarah tetap pada tahun 1991. Berkhidmat di Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS), UiTM, beliau memberi syarahan dalam subjek-subjek kemanusiaan seperti Tamaddun Islam, Pemikiran Islam dan Hubungan Etnik.

Pada tahun 2006, Ustazah Mashita berangkat ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di University of Birmingham. Di sana beliau mengambil pengkhususan dalam pendidikan juga (MA in Islamic Religious Education).

Bagi Ustazah Mashita, semasa mengajar di sekolah tahap keakraban dengan pelajar lebih tinggi berbanding dengan mengajar penuntut universiti. Di SDAR, beliau mengenali setiap pelajar dalam kelas. Suasana di universiti dirasainya lebih ‘terasing’ daripada segi hubungan dengan pelajar.

Ditanya tentang teknik-teknik pengajaran yang beliau terapkan, Ustazah Mashita menyatakan bahawa niat untuk menyampaikan ilmu harus datang dari dalam hati seseorang pendidik itu. Dengan mendahulukan niat itulah, maka akan timbul motivasi mencari teknik yang paling sesuai dan juga perlaksanan sebarang kaedah pengajaran akan menjadi lebih berkesan. Semangat dan tahap ‘tenaga’ untuk mengendalikan kuliah saban hari dan menghadapi karenah penuntut yang berbagai,  hanya dapat dikekalkan sekiranya niat asal itu betul. Menganggap penuntut itu sebagai anak adalah cara beliau menggalakan diri untuk memberikan yang terbaik dalam setiap syarahan yang disampaikan.

akrab dengan 'anak-anak' didik di UiTM
menerima penghargaan daripada penuntut UiTM

Persaraan

Selepas berkhidmat selama 29 tahun, Ustazah Mashita mengakhiri kerjaya di UiTM pada Dec 2020.

Bersama suami Hj. Mohamad Shukran Abdul Razak , beliau  menetap di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.  Sang suami merupakan rakan sekelas beliau semasa di KIK, yang juga seorang pensyarah di UiTM dalam bidang Syariah.  Dua orang anak mereka kini berkhidmat sebagai doktor perubatan, manakala dua orang sedang menuntut di universiti dalam bidang pendidikan. Dua orang lagi anak masih bersekolah.

Ustazah Mashita terus aktif dalam kerja-kerja kebajikan sosial dalam komuniti beliau selaku pengerusi Persatuan Muslimah TTDI Jaya. Beliau juga kerap diminta menyampaikan kuliah-kuliah agama untuk komuniti.

Hari terakhir di UiTM
Keluarga Ustazah Mashita
di majlis meraikan persaraan Ustazah Mashita

Baktimu dihargai selamanya. Terima kasih Ustazah!