Bagi kita yang pernah mengambil matapelajaran Perdagangan atau Prinsip Perakaunan, gema suara Cikgu Norzila Idris di kelas pasti ada menyelinap ke ingatan sekali sekala, walaupun lebih 3 dekad sudah berlalu. Penulis ini pernah menerima didikannya semasa di Tingkatan 3 dan masih menyimpan rasa kagum dengan sifat kesabaran beliau yang begitu tinggi mengajar kita… remaja-remaja lelaki yang rata-ratanya cetek penumpuan!
Penulis amat teruja diberi kesempatan mewawancara Cikgu Norzila secara maya baru-baru ini. Ikuti kisah perjalanan kerjaya beliau.
10 Julai 2021 Lock Chin Yuan
Permulaan Yang Tidak Diduga
Semenjak di usia muda lagi Cikgu Norzila telah mensasarkan diri menjadi seorang guru tanpa perlu banyak pertimbangan. Menurut beliau, pilihan ini suatu yang ‘semulajadi’ kerana zaman itu perguruan dipandang umum sebagai bidang paling serasi untuk seorang wanita. Berkecimpung dalam bidang ini selama hampir 35 tahun, tentunya tempoh ini padat dengan kisah-kisah kejayaan dan kenangan pahit manis buat Cikgu Norzila. Namun begitu di awal perjalananan ini, ada peristiwa-peristiwa yang tidak disangka berlaku yang akhirnya mencorakkan pentas kerjaya beliau.
Sejurus tamat pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Ekonomi dan berbekalkan kelayakan tambahan Diploma Pendidikan, Cikgu Norzila pun menantikan khabar daripada Jabatan Pendidikan tentang tugasan sulungnya. Kejutan menyusul…
Arahan untuk melaporkan diri ke sekolah pertama menimbulkan kegusaran di hati. Seorang guru wanita muda yang baru hendak memulakan kerjaya ditugaskan terus ke sebuah sekolah bertaraf Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk pelajar lelaki sahaja! Pelajar-pelajar lelaki memang diketahui umum memiliki karenah-karenah yang kerap menguji kecekalan seorang guru muda.
Ada perasaan curigakan keupayaan diri ketika itu, berbaur dengan perasaan teruja ke atas penghormatan terpilih untuk berkhidmat di sebuah institusi bermartabat. Cikgu Norzila mengambil keputusan tidak meminta pertukaran dan nekadkan diri mengharungi tugasan pertama. Beliau secara rasminya menyertai warga pendidik SDAR pada 25 April 1983, suatu keputusan yang akhirnya mendatangkan rezeki ilmu yang lumayan untuk ratusan pelajar SDAR selama lebih 20 tahun.
Pn Norzila is a mother first, a teacher second to her students. She is not only respected but loved by 5 Khaldun boys. A person who always had the time to listen and put up with the naughtiness of the students. Like a “school mom”, you can feel the comfort that she cared about us. Simply put, the best teacher a group of rowdy teenage boys can have away from home.
Muhd. Yazdi Che Ya (5 Ibnu Khaldun, 1990)
Dia seorang cikgu yang nampak tegas, kadangkala kelihatan agak garang tapi mempunyai paras rupa yang manis (‘cun’), berhati mulia, baik dan penyayang terhadap murid-murid, lebih-lebih lagi kami di 5 Ibnu Khaldun. Kalau berbicara, dia lebih ‘straight to the point’ dan ‘serious’ tapi bila dalam suasana santai dia agak senang melayan perangai gila-gila budak-budak kelas Khaldun ni. Cikgu Norzila adalah ‘ibu’ kami yang prihatin dengan kebajikan dan pelajaran kami.
Abd. Aziz Bilmas (5 Ibnu Khaldun, 1990)
Kerana Pn Norzila lah saya dapat kekal belajar di SDAR sehingga tamat SPM. Beliau telah menyelamatkan saya. Bersama beberapa guru lain, beliau merayu kepada pengurusan sekolah agar diringankan sedikit hukuman yang dijatuhkan ke atas saya kerana kesalahan disiplin yang serius. Budi sebegini tak mungkin dapat saya balas.
Azmi Shazlee Ishak (5 Ibnu Khaldun, 1990)
Menurut Cikgu Norzila, nasihat dan perkongsian pengalaman rakan-rakan guru seniorlah yang banyak mengajarnya selok-belok mengumpan minat belajar untuk pelajar-pelajar lelaki seperti kita yang mudah hilang tumpuan.
Kekhuartiran beliau terhadap pelajar lelaki beransur pudar dan keyakinan terbina. Meskipun penampilan zahirnya lebih kepada ciri seorang yang serius, sifat keibuan semulajadi beliau dengan mudah membuka hati dan minda pelajar-pelajar menerima didikannya. Tidak menghairankan, sahabat-sahabat kita di 5 Khaldun begitu menyanjungi Cikgu Norzila.
Ketika kita di SDAR, Cikgu Norzila bersama mentor beliau iaitu Cikgu Chin Keong Hin membentuk tunjang utama untuk pengajaran subjek Perdagangan dan Perakaunan di peringkat SRP dan SPM. Mereka turut menjadi guru penasihat Kelab Perdagangan dan jawatankuasa Lembaga Koperasi sekolah. Cikgu Norzila kekal mengajar di SDAR lama selepas kita tamat persekolahan, sehinggakan ada anak murid beliau sendiri kembali menjadi rakan setugasnya di situ! Sahabat kita Bisshukri Matrop sempat berkhidmat bersama beliau.
Pada tahun 2004, Cikgu Norzila melangkah ke alam pentadbiran sekolah selaku Penolong Kanan Akademik SDAR. Ditanya sama ada langkah ini sebenarnya cita-cita terancang, Cikgu Norzila merendahkan diri mengatakan bahawa perlantikan ini semata-mata kerana taraf senioritinya dalam perkhidmatan. Jiwa beliau masih cenderung untuk terus mengajar.
Cikgu Norzila... sepintas lalu
- Kelahiran: Kuala Pilah, Negeri Sembilan (01 Okt 1959)
- Pendidikan: B.A (Economics), Dip. Education, Universiti Kebangsaan Malaysia
- Guru, SDAR (1983-2010)
- Guru Kanan Matapelajaran, SDAR (1999-2004)
- Penolong Kanan, SDAR (2004-2010)
- Pengetua, SMK Seri Perpatih, FELDA Palong 4, Gemas, NS (Mac 2010 – Mei 2011)
- Pengetua Kanan, SM Sains Rembau, NS (Jun 2011- Dis 2017)
- Pernah mengajar subjek Ekonomi untuk Tingkatan 6 di SDAR
- Mengajar subjek Bahasa Melayu sepenggal di SDAR kerana kekurangan guru!
- Pernah bertugas sebagai warden asrama SDAR di kampus Sungai Gadut!
- Mendirikan rumahtangga pada 1984 dengan Hj Johari Sulaiman; dikurniakan 5 orang anak
Pasca SDAR....cabaran baharu
Hakikatnya, pengalaman enam tahun berikutnya sebagai Penolong Kanan menempatkan beliau dalam keadaan yang amat berkelayakan untuk mengetuai sebuah sekolah. Maka setelah lebih dua dekad bersama SDAR, Cikgu Norzila buat pertama kalinya berpindah. Beliau ditugaskan selama setahun ke sebuah sekolah luar bandar di kawasan FELDA Palong, daerah Jempol, Negeri Sembilan. Ianya sebagai pentas latihan lanjutan kemahiran pentadbiran. Kemuncak kerjaya Cikgu Norzila bermula pada Jun 2011 apabila dilantik menerajui SMS Rembau (SEMESRA) sebagai pengetua yang kedua.
SEMESRA ketika itu merupakan sebuah SBP yang masih baharu. Cikgu Norzila bertungkus-lumus menggembeleng pasukan gurunya bagi mempersiapkan kumpulan pelajar pertama menduduki peperiksaan SPM di sekolah ini. Menurut beliau, selain menjadi tumpuan tajam semua pemegang-taruh (stakeholders) sekolah ini, satu lagi faktor getir yang dihadapinya ialah bahawa guru-guru di SEMESRA ketika itu kebanyakannya masih baharu dan perlukan bimbingan. Kepimpinan Cikgu Norzila dalam jangka waktu yang singkat berhasil memacu SEMESRA ke pencapaian antara 10 sekolah SBP teratas berdasarkan keputusan SPM tahun tersebut.
Selain pencapaian akademik, sebagai pengetua Cikgu Norzila banyak memberi keutamaaan kepada pengukuhan sahsiah, jatidiri dan rohani pelajar-pelajar. Maka dapat dilihat berbagai program ke arah itu dianjurkan sewaktu pentadbiran beliau.
Sekolah muda pimpinan Cikgu Norzila ini diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2013.
Sebagai pengetua kanan, tentunya memberi ucapan dan pembentangan di dalam dan luar sekolah sebahagian daripada tugas rutin. Meskipun begitu, Cikgu Norzila mengakui dirinya bukan seorang ‘orator’ yang petah berhujah di khalayak ramai. Di sebalik penyampaian beliau yang kelihatan tenang, Cikgu Norzila menyatakan sebenarnya setiap ucapan memerlukannya membuat persediaan teks dan ‘reheasal’ yang sangat rapi.
Di SEMESRA, Cikgu Norzila telah melakar suatu reputasi sebagai pengetua yang tegas dan tidak berkompromi dalam aspek disiplin, prestasi akademik dan etika kerja. Namun beliau juga sangat mengambil berat akan keselesaan dan kebajikan warga SEMESRA. Beliau memilih untuk tinggal di dalam kampus selama beberapa tahun demi mendekati ‘anak-anak’nya, demi menjalankan tanggungjawab beratnya mentadbir sebuah SBP secara ‘hands on’. Para pelajar SEMESRA menggelar beliau dengan panggilan ‘Bonda’; begitulah tingginya sanjungan dan keakraban terhadap pengetua mereka ini.
Tirai akhir...pentas kerjaya gilang-gemilang
SEMESRA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai SBP yang ulung di bawah seliaan Cikgu Norzila. Tamatnya tahun akademik 2017, beliau mengambil keputusan untuk mengundurkan diri, dua tahun lebih awal daripada usia bersara wajib. Apabila ditanya apakah pencetus keputusan untuk bersara, Cikgu Norzila memberitahu bahawa setelah 6 tahun mengetuai sekolah ini, ada perkara-perkara yang dirasakannya perlu sentuhan baharu untuk diperbaiki dan dimajukan. Bukan seorang yang berpaut kepada jawatan sehingga ke akhir, beliau berpendapat sudah tiba masanya SEMESRA diserahkan kepada seorang pentadbir lain yang mampu mengemudi sekolah ini dengan dayafikir baharu dan mengangkatnya ke tahap yang lebih gemilang.
Mengakui dirinya masih rindukan suasana sekolah dan tugas mengajar, Cikgu Norzila kini menikmati kehidupan yang lebih santai di Seremban bersama suami Hj. Johari Sulaiman, seorang ahli kimia. Pasangan suami-isteri semenjak 1984, cahaya mata mereka seramai 5 orang telahpun ‘menghadiahkan’ sepuluh orang cucu setakat ini. Anak bongsu mengikut jejak ibu, kini berbakti sebagai seorang guru di Johor Bahru.






