En. K.S. Navaratnam (mendiang)

Pada era kita di SDAR, mendiang Cikgu Navaratnam sudah pun merupakan seorang guru veteran. Waktu itu  beliau adalah di antara 2 atau 3 orang sahaja guru kita yang asalnya memulakan perkhidmatan di SDAR ketika kampus sekolah masih bertapak di Tanjung Malim, Perak. Mereka ikut berpindah ke  Seremban pada 1972 apabila kampus SDAR yang baru itu mula beroperasi.

Sepanjang tempoh kita di SDAR, Cikgu Nava memang dikenali sebagai guru yang mengendalikan pasukan kriket sekolah, selain menjadi guru Seni Perusahaan. Mungkin setakat itu sahaja yang kita tahu selama ini. Melalui ruang Jejak Pendidik ini, kita berpeluang mengenali lebih mendalam latar belakang, kerjaya dan kehidupan beliau di luar daripada sekolah. Penulis ini berkesempatan menjejaki keluarga mendiang dan menemuramah mereka untuk rencana sulung ini.

1 Jun 2021

Lock Chin Yuan

Cikgu Nava - guru penasihat pasukan kriket SDAR

Latar Belakang

Dilahirkan di Batu Gajah, Perak pada tahun 1938, Cikgu Nava mendapat pendidikan di St Michael Institution, Ipoh (sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah St Michael). Ibubapa Cikgu Nava berasal dari Sri Lanka. Beliau dan adik beradik memang sangat aktif dalam bidang sukan sejak di sekolah. Mungkin kita semua tidak ketahui sebelum ini, adik kepada Cikgu Nava merupakan olahragawan negara pada dekad 1960an yang mewakili Malaysia ke peringkat Sukan Olimpic Tokyo 1964 dalam acara 400m lari berpagar, selain menjadi ketua pasukan kriket kebangsaan. Carilah nama Karu Selvaratnam pasti akan terjumpa berbagai rencana mengenai kejayaan adik kepada Cikgu Nava ini di persada sukan. Sememangnya sukan merupakan jiwa Cikgu Nava dan adik beradik. Tidak hairanlah di SDAR, beliaulah yang bertungkus-lumus membangunkan pasukan kriket sekolah pada dekad 1970an. Apabila kita jejak masuk ke SDAR di pertengahan dekad 1980an, kriket sudah pun bertapak kukuh sebagai salah satu sukan yang berjaya menaikkan nama sekolah. Pasukan bimbingan beliau dibarisi anak-anak Melayu yang sebelum ini rata-rata tidak begitu mengenali sukan peninggalan British ini. Walaupun peranan beliau dalam membangunkan sukan kriket untuk sekolah adalah paling menonjol, beliau sebenarnya bergiat cergas juga dalam sukan-sukan lain. Tenis merupakan akitiviti kegemarannya di luar daripada sekolah. Beliau bermain dalam pasukan tenis kelab NSCRC, bertanding di kejohanan antara kelab-kelab di Negeri Sembilan.

CIkgu Nava ketika remaja, (berdiri, ketiga dari kiri) bersama pasukan kriket St Michael Institution, Ipoh
Beraksi untuk pasukan kriket sekolah
Cikgu Nava aktif dalam sukan tenis sejak remaja
Tenis kekal sukan kegemaran Cikgu Nava lama selepas alam persekolahan. Bersama rakan sepasukan ketika mewakili kelab NSCRC, Seremban

Keluarga

Cikgu Nava mendirikan rumahtangga dengan Pn. Ranji Chelliah pada 6 Dis 1969. Perkongsian hidup mereka ini dikurniakan dua orang anak perempuan. Pn Shameerah adalah anak sulung, berkerjaya dalam bidang pengurusan sumber manusia di Seremban, manakala adiknya Pn Sumitra adalah seorang akauntan yang menetap di Australia. Cucunya seramai 4 orang memang sangat rapat dengan beliau. Malah gambar-gambar yang dimuatkan bersama rencana ini adalah sumbangan cucu beliau, Niraen.

Pn. Ranji juga merupakan seorang bekas guru, berkhidmat di SRK Convent Seremban sehingga tahun 1995. Perhubungan mereka adalah perhubungan jarak jauh kerana ketika berkenalan Cikgu Nava berkhidmat di Kuala Terengganu manakala Pn Ranji mengajar di Seremban.

Menurut Pn Shameerah, di zaman kanak-kanaknya, Cikgu Nava kerap membawanya ke bengkel Seni Perusahaan di SDAR. Pn Shameerah memberitahu, bapanya seorang pengemar aktiviti DIY, memang serasi dengan bidang yang beliau ajari.

Beliau seorang bapa yang membenarkan anak-anak menentukan halatuju pelajaran dan kerjaya masing-masing. Di rumah, sifatnya lebih kepada seorang yang pendiam, namun sangat tegas bila menyentuh hal-hal perhubungan peribadi anak-anak beliau. Berkawan dengan lelaki pada zaman remaja mereka memang dilarang sama sekali! Malah Pn Shameerah mendedahkan bahawa Cikgu Nava terkedu menitiskan air mata apabila anak perempuan sulungnya itu pertama kali mengumumkan kepada keluarga hasrat untuk mengahwini jejaka pilihan sendiri! Mungkin terlalu tidak rela untuk melepaskan anak kesayangannya mengharung alam dewasa.

Cikgu Nava bersama isteri Pn Ranji Chelliah memasuki alam perkahwinan (1969)
bersama isteri dan anak sulungnya Pn Shameerah (kanan sekali)
bersama anak bongsu , Pn Sumitra
Cikgu Nava bersama cucu-cucu

Kerjaya perguruan

Cikgu Nava sebenarnya menceburi bidang perguruan tanpa dirancang. Menurut Pn. Ranji,  suaminya mencuba nasib memohon untuk menjadi guru kerana pada fikirannya ketika itu, itulah satu-satunya cara untuk melepaskan diri daripada kongkongan bapanya, seorang yang teramat tegas. Sifat kebapaan yang sedemikian mungkin suatu kelaziman pada zaman itu.

Pada dekad pertama negara merdeka, kekurangan maktab perguruan tempatan dan demi keperluan tenaga pengajar yang genting untuk mendidik bangsa yang masih muda ini, para pelatih guru yang berjaya dipilih akan dihantar oleh kerajaan ke dua maktab perguruan di England. Brindsford untuk guru pelatih sekolah menengah dan Kirby untuk guru pelatih sekolah rendah. Selama 10 tahun (1955-1964) kedua-dua maktab perguruan ini yang berperanan sebagai penyumbang sumber tenaga pengajar yang utama untuk Persekutuan Tanah Melayu.

Cikgu Nava diterima mengikut kursus perguruan di Malayan Teachers’ Training College Brinsford Lodge, England selama 2 tahun. Maka beliau bukan calang-calang orang; pemuda-pemudi yang diterima ke maktab ini sebenarnya adalah di kalangan yang terpilih.

Kerjaya perguruan Cikgu Nava bermula di Sekolah  Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu pada tahun 1963. Beliau juga pernah memikul tugas warden asrama di situ.

Selepas 7 tahun di Terengganu, Cikgu Nava berpindah ke SDAR di Tanjung Malim. Selama 20 tahun berikutnya beliau menabur bakti di SDAR. Sepanjang kerjayanya sebagai guru, matapelajaran tunggal yang diajarinya adalah Seni Perusahaan, menjadikan beliau guru yang sangat pakar dalam bidang ini.

Menurut Pn. Ranji, Cikgu Nava gembira berkhidmat di SDAR. Beliau mempunyai hubungan kerja yang rapat dgn dua orang pengetua SDAR iaitu Dato Abdul Rahman Yeop (1974-1980) dan kemudiannya Tn Hj Ariff Osman (1980-1984). Pn. Ranji secara berseloroh menyatakan Cikgu Nava adalah ‘blue-eyed boy’ kepada Dato Abdul Rahman Yeop ketika itu!

Pada tahun 1990, beliau mengambil keputusan untuk bersara awal daripada perkhidmatan awam pada usia 52. Namun kerjaya perguruannya tidak berakhir di SDAR. Beliau seterusnya berkhidmat di Kolej Tuanku Jaafar (KTJ), sebuah sekolah antarabangsa swasta di Mantin, Negeri Sembilan. Di KTJ juga, beliau tetap aktif membimbing pelajar-pelajar dalam sukan kriket, selain mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup. Beliau hanya bersara sepenuhnya pada tahun 2005.

Cikgu Nava membimbing pasukan kriket KTJ
Bakat-bakat muda kriket SDAR yang dicungkil Cikgu Nava (1984)
Cikgu Nava bersama jaguh-jaguh kriket SDAR
Cikgu Nava (berdiri, ke-2 dari kiri) bersama pasukan kriket SDAR bertanding di Kuantan, 1986

Di kalangan kita yang mengambil matapelajaran Seni Perusahaan untuk SRP, kelas dan bengkel pertukangan logam, kayu dan mesin di bawah kendalian beliau masih kekal di ingatan. Kawan-kawan di kelas Ungku Omar dan Aminuddin Baki mungkin tersenyum jika istilah ‘kapal layar Longman’ dibangkitkan. Rakan kita Haizam Hashim menceritakan…Untuk projek amali dalam pertukangan kayu dan logam, Cikgu Nava pernah mengeluh kerana kebanyakan pelajar tidak berani atau tidak memiliki kreativiti untuk menghasilkan projek yang lebih unik. Saban tahun pelajar lebih cenderung hanya  meniru logo ‘kapal layar Longman’. Batch kita pun tiada beza. Hanya segelintir sahaja yang menghantar hasil kerja yang bukan berdasarkan logo Longman! (Longman adalah syarikat penerbit buku).

Malangnya, kesihatan Cikgu Nava merosot beberapa tahun selepas menjalani pembedahan untuk merawat buah pinggangnya. Cikgu Nava menghembuskan nafas terakhir pada 11 Dec 2015. 

THANK YOU, SIR. Rest in Peace