Kita pasti tidak lupa nyanyian Cikgu Safian berkumandang di Dewan SDAR, guru Geografi & Sejarah kita yang memiliki suara lunak merdu yang sering dipanggil membuat persembahan untuk majlis-majlis di SDAR. Bukan senang kita dapat seorang guru yang tidak segan beraksi di pentas menghiburkan kita. Di sebalik bakat menyanyi itu, Cikgu Safian dalam kerjaya penguruan dikenali bukan sahaja sebagai guru Geografi dan Sejarah yang cemerlang malah seorang perancang strategi yang bijak dalam menaikkan prestasi akademik SDAR.
Cikgu Safian adalah seorang pendidik yang menemui kerjaya impian beliau secara tidak sengaja atau dalam istilah bahasa inggeris, “an accidental educator”. Haluan yang tidak terancang ini telah mendatangkan bukan sedikit sanjungan dan penghormatan daripada pelajar-pelajar dan dalam kalangan rakan-rakan guru juga. Malah beberapa orang guru kita menganggap Cikgu Safian sebagai ‘mentor’, seorang guru yang dicontohi cara kerjanya yang sangat teratur dan sistematik. Lebih menakjubkan, guru-guru tersebut lebih awal mengajar di SDAR daripada Cikgu Safian!
7 Jan 2022 Lock Chin Yuan
Latar Belakang
Anak keenam daripada tujuh orang adik-beradik, Cikgu Safian berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan. Walaupun tidak kelihatan ketara pada raut wajah, Cikgu Safian sebenarnya berdarah kacukan. Ibu Cikgu Safian adalah berketurunan Cina yang dibesarkan oleh sebuah keluarga Melayu. Geografi dan Sejarah sememangnya mata pelajaran yang dapat Cikgu Safian kuasai dengan baik di peringkat sekolah lagi. Maka ketika menjadi mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM), kedua-duanya menjadi pilihan beliau sebagai bidang pengkhususan.
Cikgu Safian adalah seorang yang sangat meminati seni. Selain seni suara, beliau juga berkecimpung dalam kegiatan penyiaran, fotografi dan pementasan semasa di universiti. Cikgu Safian turut memiliki bakat dalam penulisan. Di USM beliau aktif menulis dan artikel beliau pernah menenangi forum anjuran sebuah akhbar tempatan. Malah semasa mengajar di SDAR, Cikgu Safian telah menulis beberapa buku rujukan peperiksaan untuk mata pelajaran Sejarah dan Geografi yang diterbitkan oleh syarikat Fajar Bakti.
Setelah tamat pengajian di USM pada tahun 1985, Cikgu Safian memohon pekerjaan di beberapa syarikat dan badan kerajaan. Walaupun kerjaya perguruan bukan pilihan utama ketika itu, sementara menunggu panggilan temuduga, beliau berkhidmat sebagai guru sementara di sebuah sekolah di Jelebu. Mungkin bukan rezeki beliau ketika itu, peluang pekerjaan tipis di kala kegawatan ekonomi negara pada pertengahan dekad 1980an.
Berbekalkan pengalaman setahun sebagai guru sementara, Cikgu Safian membuka langkah untuk menceburi bidang perguruan secara rasmi dengan mengambil kursus Diploma Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Jodoh bersama SDAR
Mungkin kebanyakan daripada kita tidak menyedarinya, Cikgu Safian menjalani latihan amali mengajar di SDAR pada tahun 1987 selama 3 bulan. Ini adalah kerana sejurus selepas tamat latihan, Cikgu Safian terus diserap sebagai guru tetap di SDAR tanpa sebarang selang masa. Menariknya, Cikgu Safian telah mengenali SDAR secara dekat lama sebelum beliau menjadi guru kita.
Cikgu Safian menceritakan, setelah lulus dengan baik dalam peperiksaan SPM, beliau mendapat peluang sambung belajar ke Tingkatan 6 di Seremban. Pada mulanya beliau mendapat tempat di sekolah jiran kita, iaitu Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah (STAD). Bagaimanapun beberapa minggu kemudian, datang pula tawaran untuk belajar di Tingkatan 6 di SDAR. Sebelum membuat pilihan, Cikgu Safian ingin merasa sendiri suasana belajar dan kehidupan di SDAR. Maka beliau ‘ponteng’ kelas di STAD dan mendaftar di SDAR! Setelah percubaan selama 2 minggu belajar dan tinggal di SDAR, Cikgu Safian memutuskan untuk kembali ke STAD, yang ketika itu dirasakan lebih selesa dan menarik, apatah lagi dengan adanya pelajar-pelajar perempuan di sekolah seberang pagar itu!
Strategist yang bijak
Dengan pendekatan kerja beliau yang sangat sistematik sehingga dicontohi rakan-rakan guru, maka secara semulajadinya Cikgu Safian juga seorang yang berkeupayaan menganalisa data dan mentafsirnya. Kebolehan ini memungkinkan beliau merangka strategi untuk menangani sesuatu masalah. Ini terserlah di SDAR pada tahun 1991.
Hasil analisa terhadap data statistik keputusan peperiksaan SPM dan juga jenis soalan-soalan yang terbit, Cikgu Safian mendapati saban tahun para pelajar jauh lebih cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah berbanding dengan Geografi. Ketika zaman kita di SDAR, Geografi seolah menjadi mata pelajaran wajib kerana Sejarah tidak ditawarkan kepada pelajar aliran sains tulen, walaupun sebenarnya ia adalah suatu mata pelajaran elektif.
Demi untuk mempertingkatkan pencapaian peperiksaan SPM SDAR secara keseluruhan, Cikgu Safian mencadangkan kepada pihak pentadbiran sekolah agar Sejarah menggantikan Geografi sebagai mata pelajaran elektif untuk pelajar-pelajar SDAR. Cikgu Safian menawarkan diri untuk memikul tugas mengajar Sejarah untuk kelas-kelas aliran sains tulen.
Pihak pentadbiran sekolah bersetuju memberi laluan kepada Cikgu Safian untuk menjayakan eksperimen ini. Seperti yang diramal Cikgu Safian, keputusan peperiksaan SPM menunjukkan peningkatan ketara, didukung oleh prestasi mata pelajaran Sejarah yang memberangsangkan. Kerana ‘score’ dalam Sejarah, agregat yang dicapai seseorang pelajar itu bertambah baik.
Percaturan bijak Cikgu Safian ini berjaya mengukuhkan ‘ranking’ SDAR dari segi pencapaian peperiksaan SPM pada tahun-tahun berikutnya.
Di SDAR, Cikgu Safian selaku guru penasihat Persatuan Sejarah dan Geografi pernah membimbing pasukan SDAR ke peringkatan kebangsaan pertandingan Kuiz Sejarah setelah menjuarai pertandingan peringkat Negeri Sembilan dan zon selatan. Di samping itu beliau juga pernah memegang jawatan sebagai setiausaha ko-kurikulum (kini jawatan ini dikenali sebagai Penolong Kanan ko-kurikulum).
Sebagaimana dengan kebanyakan kerjaya lain, seorang guru turut dibadai musibah yang berkaitan kerja atau ‘occupation hazards’. Pengalaman pahit sewaktu berada dalam dunia pendidikan khususnya sewaktu mengajar di SDAR tahun 1994 apabila dituduh membocorkan soalan peperiksaan Sejarah SPM sehingga melibatan pihak polis. Walaupun akhirnya siasatan membuktikan tuduhan tersebut tidak berasas, perasaaan terkilan terhadap peristiwa itu sukar dielak.
Cikgu Safian Abdul Rashid... sepintas lalu
Kelahiran:
Kelahiran: Jelebu, Negeri Sembilan (1959)
Pendidikan:
SPM, SM Bandar Tinggi, Jelebu, NS (1978)
STP, SMK Tunku Ampuan Durah, Seremban. NS (1980)
Sarjana Muda Sastera (Kepujian), UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (1985)
Diploma Pendidikan UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (1987)
Sarjana Pengurusan Pendidikan UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (1997)
Kerjaya:
SDAR
Guru Akademik: 1987 – 1995
Ketua Panitia Sejarah & Geografi:
Guru Penasihat Persatuan Sejarah dan Geografi
Guru Penasihat Kelab Fotografi
Guru Penasihat Pasukan Hoki U-18
Pemeriksa Kertas Geografi SPM (1988-1990)
Pemeriksa Kertas Sejarah SPM (1991-1992)
Institut Pendidikan Guru Raja Melewar , Seremban, NS (1997-2019)
Pensyarah
Pensyarah Kanan
Ketua Unit
Ketua Jabatan
Keluarga:
Mendirikan rumahtangga pada 1988, dikurniakan 4 orang anak perempuan
Pasca SDAR - Mendidik bakal guru
Bagi Cikgu Safian, lapan tahun berkhidmat di SDAR banyak mengajar beliau selok-belok menjadi seorang guru yang berkesan. Beliau merasa kepuasan apabila anak-anak didiknya itu berjaya. Dalam pada itu tercetus juga hasrat untuk mempertingkatkan ilmu dan kelayakan diri, apabila melihat seorang rakan beliau melanjutkan pelajaran. Maka pada tahun 1995 Cikgu Safian meninggalkan suasana sekolah sebentar dan kembali ke UKM untuk mengikuti kursus peringkat Sarjana.
Perancangan asal adalah untuk kembali mengajar di SDAR setelah tamat pengajian. Bagaimanapun, kerjaya susulan Cikgu Safian turut berganjak ke aras yang lebih tinggi setelah memperolehi ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan. Cikgu Safian ditugaskan oleh Kementerian Pendidikan ke Maktab Perguruan Raja Melewar (kemudiannya dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar) sebagai pensyarah pada tahun 1997. Sepanjang 22 tahun di IPGKRM, Cikgu Safian mendidik bakal guru-guru dalam pedagogi mata pelajaran Sejarah dan Geografi. Beliau bersara sebagai Ketua Unit Teknologi Pendidikan IPGKRM September 2019.
Cikgu Safian menetap di Taman Tunku Kurshiah, Seremban bersama isteri yang merupakan seorang pengetua sekolah. Ketika masih bersekolah, keempat-empat anak Cikgu Safian cemerlang dalam peperiksaan Geografi SPM sebagai mata pelajaran elektif tambahan di bawah bimbingan beliau sendiri di rumah sahaja. Anak yang bongsu mengikut jejak beliau menceburi bidang perguruan.
Kini di alam persaraan Cikgu Safian yang gemar menjelajah, sedang merancang perjalanan destinasi-destinasi yang ingin dilawati bersama rakan-rakan guru yang lama.
Cikgu Safian adalah antara mantan guru-guru kita yang masih kerap dihubungi SDARIANs. Sesungguhnya ‘impact’ beliau terhadap anak-anak murid tidak luntur sungguhpun kita sudah begitu lama meninggalkan era persekolahan.

