Dr. Hj. Abdul Latif Ahmad

Cikgu Abdul Latif Ahmad adalah antara guru-guru yang paling kerap kita berinteraksi dengan semasa kita baru bertapak di SDAR. Di hampir setiap program semasa minggu orentasi pasti akan kelihatan Cikgu Latif, sama ada memberi memberi taklimat mahupun memantau perlaksanaan aktiviti. Bagi kami yang menyertai pasukan pengakap, hoki dan jimnastiks, interaksi rapat dengan beliau berlanjutan sehingga ke penghujung tempoh belajar di SDAR.

Penulis menyantuni Cikgu Latif di Parit Sulong, Johor dan beliau berlapang hati mengizinkan liku-liku kerjaya beliau dirakamkan dalam rencana ini. Ini merupakan kali pertama kisah seorang warden asrama kita dipaparkan menerusi ruangan Jejak Pendidik.

15 June 2022   Lock Chin Yuan

Latar Belakang

Cikgu Latif giat cergas dalam pasukan pengakap, dari remaja sehingga zaman menjadi guru
Cikgu Latif (kiri sekali) semasa di MPIK. Wartawan terkenal TV3 Karam Singh Walia (ketiga dari kiri) adalah rakan di MPIK

Berasal dari Sungai Petani, Kedah, Cikgu Latif membesar dalam sebuah keluarga anggota PDRM. Beliau beberapa kali berpindah sekolah mengikut tempat ayah beliau bertugas di Kedah dan Perlis. Ketika remaja, sukan hoki dan pasukan  pengakap menjadi kegiatan utama. Anak kedua daripada tujuh orang adik beradik, Cikgu Latif memberitahu, di zaman remaja dirinya lebih bersifat nakal. Bagi beliau, ini mungkin faktor yang menjejaskan peluangnya ke Universiti selepas tamat persekolahan.

Begitupun, Cikgu Latif kemudiannya diterima mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, mengkhusus dalam bidang Pendidikan Jasmani.

Sebut tentang Sungai Petani, tentu ramai dalam kalangan kita yang tahu bandar ini juga merupakan kampung halaman seorang lagi guru kita yang sangat popular. Cikgu Latif tergelak mengenang kembali bagaimana guru Bahasa Inggeris kita Cikgu Hasni Bakar cukup tidak menyenangi gelagat Cikgu Latif dan rakan-rakan di zaman persekolahan mereka.
Menurut cerita Cikgu Latif, Cikgu Hasni yang bersekolah di Convent Sungai Petani sering menjadi mangsa gurauan nakal Cikgu Latif yang menuntut di SMK Ibrahim berdekatan. Sehinggakan beliau merasakan mungkin Cikgu Hasni mendoakan agar mereka tidak akan ditemukan lagi buat selamanya. Kehendak takdir, laluan mereka berdua akhirnya bertembung juga apabila menjadi rakan sekerja di SDAR!

Yang menarik, Cikgu Latif dan Cikgu Hasni merupakan gabungan tidak rasmi sekumpulan guru-guru prihatin yang pernah bertungkus-lumus ‘menyelamatkan’ rakan-rakan SDAR90 yang bermasalah disiplin daripada hukuman terberat. Bagaikan peguambela, mereka mempertahankan rakan-rakan kita di hadapan pihak pentadbir sekolah semata-mata tidak ingin melihat seseorang bakal modal insan itu gelap masa depan kerana kecundang kes disiplin.
Barangkali hanya antara kita yang terlibat secara langsung dalam kes-kes tersebut merasai betapa mulianya Cikgu Latif dan rakan-rakan guru ini memperjuangkan kebajikan pelajar.

Awal Kerjaya

Ditugaskan ke SDAR sejurus lulus dari MPIK pada tahun 1985, Cikgu Latif berasa permulaan kerjaya perguruan beliau dilimpahi tuah. Ini adalah kerana beliau diberi empat peranan di sekolah kita. Selain menjadi guru, Cikgu Latif juga diberi tanggungjawab sebagai warden asrama, jurulatih sukan dan penasihat pasukan pengakap. Pendedahan dan pengalaman berbagai-bagai inilah membina Cikgu Latif sebagai seorang pendidik yang bukan sahaja mahir dan cekap malahan berjiwa memahami pelajar remaja dan belia.

Sebagai warden asrama dan jurulatih pasukan jimnastiks dan hoki sekolah, sememangnya waktu yang diluangkan bersama pelajar adalah panjang. Tanggungjawab turut berganda.

Pasukan jimnastiks SDAR di bawah kendalian Cikgu Latif (bersama dengan Cikgu Azizi Sihab) cemerlang di pertandingan antara sekolah-sekolah di Negeri Sembilan. Gymnast SDAR90 yang dilatih beliau termasuk saudara Yusmaryadi, Fariz, Zaim, Nahar, Arif Jamili, Amar Az dan Syed Muhammad

Aktiviti-aktiviti kita yang di luar waktu persekolahan rasmi banyak dikelolakan oleh Cikgu Latif dan rakan warden yang lain. Dari program minggu orentasi, PPM, perkhemahan, pertandingan sukan, sehinggalah minggu SPM, Cikgu Latif ada bersama kita. Membimbing kita ketika membina identiti diri, ketika tersungkur, ketika terpesong jalan.

Cikgu Latif menceritakan, pengetua-pengetua kita masa itu banyak berganding bahu dengan pasukan warden untuk merancang aktiviti membina jati diri dan mencari jalan untuk menyalurkan tenaga-tenaga remaja yang sedang bergelagak ke arah kegiatan-kegiatan fizikal dan mental yang bermanfaat.

Kegemaran pelajar seperti muzik dan lain-lain bentuk hiburan tidak diharamkan secara kekerasan, tetapi diolah ke arah yang lebih tertib. Maka di zaman kita belajar di SDAR, terbitlah Malam Meditasi Merdeka, Malam Jasamu Dikenang, tertubuhnya orkestra sekolah, pertandingan kugiran Battle of the Bands, ….semua ini dianjur dan dikelola oleh pelajar sendiri di bawah seliaan para warden seperti Cikgu Latif dan Cikgu Ahmad Hashim. Dua orang warden kita ini memang akrab di SDAR.

Sahabat karib...Cikgu Latif dan Cikgu Ahmad Hashim
Cikgu Latif jurulatih pasukan hoki SDAR
Bersama para jimnast SDAR
Cikgu Latif sebagai penasihat pasukan pengakap SDAR
Cikgu Latif , pemuzik dalam band guru SDAR

Walaupun ketegasan membentuk disiplin kita adalah keutamaan, cara Cikgu Latif berfungsi sebagai warden  cenderung kepada menjaga kebajikan pelajar, sebagai pengganti ibubapa. Cikgu Latif berkata, apabila ada pelajar jatuh sakit di asrama, warden akan bergegas tanpa lengah menghantarnya untuk mendapatkan rawatan, berbanding apabila anak sendiri yang jatuh sakit. Begitulah ‘urgency’ yang dirasakan Cikgu Latif apabila diberi tanggungjawab menjaga ‘anak-anak’ asrama ini.

Cikgu Latif mendedahkan, apabila mengeluarkan surat berhenti sekolah kita sekalipun, beliau sendiri sedaya upaya menyakinkan pihak sekolah agar komen tentang kelakuan pelajar tidak ditulis dengan perkataan yang  mungkin mengelapkan masa depan mereka. Beliau memegang kepada pendapat bahawa senakal mana pun seseorang pelajar itu pada zaman remaja, tidak wajar masa depan mereka terhalang akibat satu catatan di dalam rekod.

Sebagai seorang warden, “privacy” kehidupan diri dan keluarga juga dikorbankan . Maklumlah, tinggal dalam kampus yang sarat dengan ratusan pelajar remaja yang memerlukan perhatian. Cikgu Latif berasa bertuah isteri beliau Puan Jabariah amat memahami tugas beliau dan memberi sokongan tegar kepada beliau. Malahan Puan Jabariah turut memiliki rasa kasihan terhadap anak-anak remaja yang berjauhan dari keluarga. Antara kita yang pernah dijamu dengan masakan Puan Jabariah pasti ingat akan ihsan beliau.

Prinsip Cikgu Latif sebagai guru dan jurulatih berdasarkan membimbing pelajar ke arah kecemerlangan dan bukannya mengejar pengikhtirafan mahupun angka KPI kerjaya. Bagi beliau, sesuatu pengikhtirafan itu bukannya matlamat utama, ia adalah penghargaan susulan pencapaian anak-anak didik beliau.

Apabila bertemu semula dengan bekas pelajar-pelajar SDAR dan mereka menceritakan semula tunjuk ajar dan nasihat Cikgu Latif yang mereka terapkan dalam hidup ketika dewasa, beliau merasakan kepuasan yang tidak ternilai.

Cikgu Latif, guru pengiring pasukan PPM SDAR
Cikgu Latif (kiri sekali), selaku juri bahas di SDAR

Cikgu Latif Ahmad... sepintas lalu

Kelahiran:

Sungai Petani, KEDAH (3 Nov 1963)

Pendidikan:

Sijil Perguruan – Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras (1984)
Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dan Kesihatan – UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (1997)
Sarjana Psikologi Pendidikan – UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (2004)
Doktor Falsafah , Pendidikan (Educational Doctorate) – UNIVERSITI SELANGOR (2014)

Kerjaya:

Guru, Warden Asrama

Jurulatih sukan hoki, jimnastiks, bola speak

SDAR (1985 – 1993)

Guru

SMK Senawang, NS (1993 – 1995)

SMK Paloh, Kluang, JOHOR (1998-1999)

 

Pensyarah, Ketua Jabatan

Institut Pendidikan Guru Tun Hussein Onn

Batu Pahat, JOHOR (2000 – kini)

Keluarga:

Berkahwin dengan Hjh. Jabariah bt Hj Abd. Wahab pada 1987; dikurniakan 4 orang anak, 5 orang cucu

Adik Cikgu Latif , Azman Ahmad merupakan pelajar program A-Level dan juga prefek di SDAR (1985-1987)

Kemelut menimpa

Pendekatan mengutamakan kebajikan pelajar ini ada kalanya menjebakkan Cikgu Latif dalam percanggahan dengan pihak pentadbiran sekolah.
Tidak lama selepas kita selesai meduduki SPM, pentadbiran SDAR bertukar tangan kepada ‘team’ yang baru. Pihak pentadbiran masa itu menganggap Cikgu Latif dan beberapa rakan warden lain terlalu menyebelahi pelajar. Maka bermulalah pergeseran antara pasukan warden dan pihak pentadbiran. Lantaran itu Cikgu Latif melihat faktor kebajikan pelajar mula terabai, walaupun untuk perkara yang asas sekali pun.
Kita pasti ingat akan musim-musim kekurangan bekalan air di kampus Sikamat. Lazimnya pihak sekolah akan membenarkan pelajar-pelajar mencari air di tempat alternatif seperti di dewan, makmal malahan di kediaman pengetua. Malangnya di bawah pentadbiran baru ini, kekangan demi kekangan dikenakan untuk mencari air.
Kes-kes kesalahan disiplin pelajar yang kebiasaan diselesaikan oleh warden-warden secara dalaman sudah dijadikan kes polis pula. Semua perkembangan seperti ini mewujudkan suasana konfrontasi di antara pasukan warden dengan pihak pentadbir.

Pelajar-pelajar yang ingin membawa aduan kepada pihak SDARA diugut dengan tindakan buang sekolah. Demi melindungi para pelajar, Cikgu Latif dan warden lain yang sependapat pergi berjumpa dengan jawatankuasa SDARA untuk mencari penyelesaian, biar pun mereka sendiri bakal menghadapi tindakan disiplin kerana berani melanggar larangan pihak pentadbir.
Beberapa orang warden yang berkhidmat lama sudah pun membuat perancangan lebih awal meninggalkan SDAR, sama ada bertukar sekolah atau bertukar kerjaya. Tinggallah Cikgu Latif bersama warden-warden muda bergelut dengan pihak pentadbir.

Cikgu Latif menceritakan, sebenarnya selepas perselisihan yang berlaku dengan pihak pentadbir SDAR, beliau dimasukkan dalam senarai guru yang akan disingkir dari SDAR dan dipindahkan ke sekolah pedalaman. Mujur pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan ketika itu menyedari rekod perkhidmatan dan kemahiran Cikgu Latif yang berbagai-bagai cabang. Yakin akan kebolehan Cikgu Latif itu lebih baik dimanfaatkan di sekolah bandar yang lebih lengkap kemudahannya, pengarah tersebut meluluskan pertukaran Cikgu Latif ke SMK Senawang pada tahun 1993.
Maka berakhirlah 8 tahun pahit manis Cikgu Latif bersama SDAR.

Perjalananan Kerjaya Pasca SDAR

Bermula dekad 1990an, guru-guru di sekolah menengah sudah kebanyakannya lulusan universiti. Cikgu Latif mula merasakan pendapat dan kemahiran guru-guru lulusan maktab dipinggirkan. Tekad untuk mempertingkatkan pendidikan formalnya, Cikgu Latif ‘bercuti’ untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia pada 1995.
Setelah tamat pengajian, beliau mencari peluang mengajar Johor, negeri asal isteri beliau.
Cikgu Latif bertugas selama 2 tahun di SMK Paloh, Kluang, Johor.
Kemudian beliau menyertai IPG Tun Hussein Onn, Batu Pahat, mendidik bakal guru pula dalam bidang pendidikan jasmani.

Dengan anjakan kerjaya ini, keinginan Cikgu Latif untuk memantapkan ilmu terus berkobar. Beliau melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang Psikologi Pendidikan.

Ketika menerima ijazah Sarjana

Dalam tempoh panjang berkhidmat di IPG Tun Hussein Onn, selain sebagai pensyarah Cikgu Latif juga dilantik sebagai Ketua Jabatan sebanyak empat kali. Namun Cikgu Latif berkata, tugas mendidik lebih mendatangkan kepuasan bagi diri beliau.

Dalam kesibukan tugas sebagai pensyarah, azam Cikgu Latif memburu kelayakan akademik yang lebih tinggi tidak pernah pudar. Maka pada tahun 2006 beliau memulakan pengajian peringkat Doktor Falsafah secara separuh masa. Cikgu Latif berulang-alik dari Johor ke Selangor setiap hujung minggu untuk mengikuti kuliah, ada kalanya terpaksa bermalam di masjid. Cabaran demi cabaran diredah, akhirnya Cikgu Latif ditauliahkan Doktor Falsafah dalam Pendidikan pada tahun 2014.

Kini, Cikgu Latif adalah antara pensyarah paling senior di IPG Tun Hussein Onn, dan beliau menetap di Parit Sulong bersama keluarga.

Di majlis konvokesyen penganugerahan ijazah Doktor Falsafah
Keluarga Cikgu Latif

Budi yang dicurahimu dilupa tidak. Terima kasih Cikgu Latif!