En. Goh Lian Kee (mendiang)

Matematik dan cabang-cabangnya sememangnya memberi tanggapan sebagai mata pelajaran yang amat menyulitkan, hanya boleh difahami dengan baik oleh segelintir daripada kita sahaja ketika bersekolah. Di SDAR, Cikgu Goh Lian Kee tergolong dalam sekumpulan guru Matematik yang sangat berpengalaman, di mana mereka seolah-olah memiliki suatu keajaiban melihat Matematik sebagai sesuatu yang mudah. Kita kagum terkebil-kebil di kelas apabila Cikgu Goh memenuhi dua laman papan hijau dengan rumus-rumus, rajah-rajah dan penyelesaian tanpa perlu merujuk kepada buku langsung! Beliau seorang guru yang memiliki tahap kesabaran yang sangat tinggi mengajar suatu mata pelajaran yang bukan senang difahami.
Balu mendiang Cikgu Goh, Puan Yap See Moi, sudi membawa penulis ini menjejaki kehidupan dan kerjaya guru Matematik kita ini.

1 Sep 2021   Lock Chin Yuan

Negeri Kelantan....permulaan kerjaya

Sepanjang kerjaya perguruan beliau, Cikgu Goh ditugaskan ke tiga buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) berturut -turut. Sebelum menyertai SDAR, beliau mengajar di SMS Kelantan (sekarang dikenali sebagai SMS Tengku Muhammad Faris Petra) di Kota Bharu dan Sekolah Seri Puteri (SSP), Kuala Lumpur.

Puan Yap mendedahkan, zaman kanak-kanak dan remaja Cikgu Goh dilalui dalam keadaan yang serba kekurangan. Dibesarkan di sebuah keluarga penoreh getah di Klang, Selangor bersama tiga orang adik-beradik perempuan, pendidikan tinggi untuk anak-anak bukan dalam agenda utama bapa beliau. Namun atas kekentalan si ibu mendesak agar anak lelaki tunggal itu mendapat pendidikan setinggi yang mungkin, akhirnya Cikgu Goh cemerlang di sekolah dan mendapat tajaan negeri Selangor untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, sebagai persediaan untuk menjadi seorang guru. Di UM beliau membuat pengkhususan dalam bidang Matematik.

Puan Yap menceritakan, pada mulanya Cikgu Goh sebenarnya ditugaskan ke sebuah sekolah pedalaman di Tumpat, Kelantan. Namun suatu perisitiwa tidak disangka berlaku pada hari pertama beliau melapor diri. Ketua kampung di mana terletaknya sekolah tersebut menunggu ketibaan Cikgu Goh. Hasrat ketua kampung itu ialah untuk cuba meyakinkan Cikgu Goh untuk bertukar sekolah dengan anak perempuannya yang telah dihantar mengajar di Kota Bharu! Cikgu Goh tanpa banyak berlengah bersetuju kerana merasakan mengajar di bandar utama lebih menarik daripada di Tumpat. Maka proses permohonan pertukaran pun disegerakan. Begitulah kisah bagaimana bermulanya kerjaya beliau di Kota Bharu pada tahun 1977, yang akhirnya juga melakarkan perjalanan kehidupan peribadi beliau.

Puan Yap yang juga merupakan seorang guru muda yang baru tamat pengajian di universiti, dihantar bertugas ke SMK Zainab, Kota Bharu pada tahun 1978. Pada masa itu, sekolah ini dikunjungi guru-guru dari sekolah-sekolah lain di hujung minggu untuk beriadah. Di gelanggang badminton SMK Zainab lah Puan Yap bertemu Cikgu Goh buat kali pertama. Puan Yap masih ingat adegan lucu ketika itu di mana Cikgu Goh tersilap anggap Pn Yap sebagai seorang pelajar SMK Zainab! Persahabatan terjalin sehingga akhirnya mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 1981.

Menariknya, sewaktu Cikgu Goh mengajar di SMS Kelantan dua orang guru kita di SDAR sudah pun menjadi rakan setugas beliau sejak di situ lagi. Mereka adalah En. Pang Ah Man dan Puan Lim Keng Siew (atau lebih dikenali kita sebagai Puan Teoh Eng Keng), kedua-dua mereka adalah guru Fizik kita. 

Cikgu Goh (duduk, ke-2 dari kiri) semasa di SMS Kelantan
Cikgu Goh dan Cikgu Pang Ah Man (duduk, ke-4 dari kiri), rakan setugas sejak di SMS Kelantan
Cikgu Goh (duduk, ke-6 dari kiri) semasa menjadi tenaga pengajar untuk program A-Level di SDAR

Selepas 5 tahun berkhidmat di pantai timur Semenanjung, Cikgu Goh memohon berpindah kembali ke Lembah Klang. SSP, sebuah SBP ternama untuk pelajar perempuan, menjadi tempat Cikgu menyambung kerjaya perguruan. Sungguhpun semasa di SDAR, kita sering melihat Cikgu Goh bergiat dalam sukan ping-pong bersama beberapa orang guru lain, beliau merupakan guru penasihat dan pengurus pasukan bola keranjang perempuan SSP (SSP memang terkenal sebagai sekolah yang mengungguli sukan bola keranjang perempuan dan dibimbing jurulatih yang dibawa khas dari luar sekolah).

Semasa di SMS Kelantan lagi Cikgu Goh dikenali sebagai guru Matematik yang berkaliber tinggi. Beliau sudah pun menjadi pemeriksa kertas Matematik Tambahan SPM sejak 1978. Menjelang 1980, beliau menjadi Ketua Pasukan Pemeriksa Matematik Tambahan SPM di Kelantan. Peranan beliau sebagai pemeriksa terus diiktiraf sehingga kemuncaknya pada tahun 2004 apabila beliau dilantik oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia sebagai Ketua Pemeriksa untuk Matematik Tambahan SPM.

Ujar Pn Yap, walaupun pengetua silih berganti sepanjang perkhidmatan Cikgu Goh di SDAR, beliau adalah seorang guru yang sentiasa memberi kerjasama rapat dengan pihak pentadbiran sekolah . Faktor ini, selain daripada kemahiran mengajar, menjadikan Cikgu Goh seorang guru yang sangat dihargai oleh para pengetua.

Cikgu Goh berkhidmat di SDAR selama 22 tahun,  Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Bidang Sains sebelum bersara.

Cikgu Goh Lian Kee... sepintas lalu

ketika ditauliah sebagai Ketua Pemeriksa untuk Matematik Tambahan SPM

Kelahiran:

Klang, SELANGOR (31 May 1951)

Pendidikan:

Sarjan Muda Sains (Kepujian) & Diploma Pendidikan, UNIVERSITI MALAYA  (1976)

Kerjaya:

Guru

Sekolah Menengah Sains Kelantan (SMS Tengku Muhammad Faris Petra), Kota Bharu, KELANTAN (1977-1981)

Sekolah Seri Puteri, KUALA LUMPUR (1982-1984)

SDAR (1985-2007)

Ketua Bidang Sains, SDAR

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 1993

Ketua Pemeriksa untuk Matematik Tambahan SPM, 2004-2007

Mendirikan rumahtangga dengan Pn Yap See Moi pada 1981, dikurniakan 2 anak perempuan dan seorang anak lelaki

Pemergian yang terlalu awal...

Puan Yap menyifatkan Cikgu Goh sebagai seorang anak dan menantu yang sangat menghormati orang tua. Cikgu Goh banyak berkorban masa dan kemahuan peribadi demi menjaga ibubapa beliau di hari tua mereka. Cikgu Goh adalah seorang yang sangat berdedikasi dan penyabar dalam tugas mendidik anak-anak murid dan juga anak-anak beliau sendiri. Di SDAR, kelas-kelas tambahan yang beliau kendalikan saban tahun banyak membantu pelajar-pelajar menghadapi peperiksaan. Puan Yap memberitahu, hanya setelah bersara pada tahun 2007 barulah Cikgu Goh berpeluang bercuti dan melancong bersama keluarga.

Tanpa diduga Cikgu Goh mengalami pendarahan di otak secara tiba-tiba pada awal tahun 2016. Akibat komplikasi daripada kecederaan ini, beliau berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Cikgu Goh meninggal dunia beberapa hari selepas itu.

Walaupun sudah 5 tahun pemergian mendiang semasa wawancara ini dilangsungkan, kenangan tentang Cikgu Goh masih menimbulkan kehibaan yang jelas di wajah Puan Yap. Tiada ragu di hati penulis betapa keperibadian Cikgu Goh sebagai seorang suami, bapa dan anak disanjungi keluarga beliau.

Bersama rakan-rakan guru Sains dan Matematik SDAR (pertengahan 1990an)

Thank you Mr. Goh! Rest in Peace

Penghargaan

Kepada Puan Yap See Moi, SDAR90 merakamkan salam takziah dan juga ribuan penghargaan kerana kesudian berkongsi memori mengenai mendiang Cikgu Goh.

Puan Yap merupakan  mantan pengetua cemerlang SMK Saint Paul, Seremban (2006-2011). Beliau adalah pengetua wanita yang pertama menerajui sekolah pelajar lelaki ini yang mempunyai sejarah penubuhan di Seremban lebih 120 tahun. 

Terima kasih ke atas bakti pasangan suami isteri ini kepada pendidikan kebangsaan!