Semasa mengajar di SDAR, Cikgu Munahwar Sultanah berpadu dengan dua orang guru lain membentuk pasangan guru yang meninggalkan kesan yang sangat mendalam, bukan setakat akademik malahan kehidupan kita, pelajar SDAR90. Cikgu Munahwar bersama Cikgu Norzila Idris adalah ‘duo’ yang bagaikan ‘ibu’ kepada pelajar-pelajar 5 Khaldun selaku guru kelas dan guru mata pelajaran utama. Manakala bersama Cikgu Khalijah Ibrahim pula, beliau menjadi pasangan pendidik Bahasa Melayu SDAR yang progresif, tunjang kepada usaha-usaha memantapkan kita menghadapi peperiksasan Bahasa Melayu SPM.
Memiliki nama yang unik dan penampilan yang anggun, Cikgu Munahwar memang seorang yang mudah mencuri tumpuan. Sebagai guru, kebolehan beliau menyampaikan ilmu memang kita sedia maklum. Tetapi ramai dalam kalangan kita belum tahu sumbangan beliau jauh melangkaui batas tugas rasmi demi memperbaiki dan menaiktaraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Akal dan usaha beliau untuk mengatasi kekangan yang dihadapi sesungguhnya menakjubkan. Menerusi sesi wawancara maya bersama penulis, Cikgu Munahwar membawa kita selak-selak jendela kerjaya dan kehidupan beliau.
12 Sept 2021 Lock Chin Yuan
Melangkah ke alam perguruan
Mungkin ada di antara kita yang menjangkakan Cikgu Munahwar mempunyai darah kacukan. Sungguhpun ayah dan bonda beliau masing-masing berasal dari Singapura dan Indonesia, sebenarnya kedua-dua mereka berketurunan kaum yang berasal dari wilayah-wilayah di negara Pakistan. Dibesarkan di Kampung Jiboi, Seremban, Cikgu Munahwar adalah anak ke-empat daripada tujuh orang adik-beradik. Beliau dinamakan sempena nama seorang pelakon filem Hindustan yang masyhur di tahun-tahun 1940an dan 1950an, yang sangat diminati oleh ayah beliau.
Minat Cikgu Munahwar dalam bidang perguruan memang tertanam sejak di sekolah lagi. Semasa menuntut di Universiti Malaya (UM), beliau mengambil jurusan Pengajian Melayu dengan pengkhususan dalam bidang Linguistik. Beliau giat dalam penulisan dan penerbitan majalah kolej UM iaitu ASTAR. Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Sastera dan dilanjutkan dengan Diploma Pendidikan, landasan kerjaya perguruan Cikgu Munahwar bertitik-tolak di SMK Sungkai, Perak.
Di dekad 1980an, Sungkai masih merupakan sebuah pekan kecil dengan kemudahan yang agak terhad. Cikgu Munahwar masih ingat, untuk mengisi petrol kereta beliau perlu memandu hampir 15km ke pekan Bidor dan ada kalanya perlu sampai ke Tapah sejauh 25km.
Setelah setengah tahun di Sungkai, Cikgu Munahwar berkahwin dan memohon untuk bertukar ke Seremban. Pada Jan 1988, bermulalah kerjaya Cikgu Munahwar di SDAR . Penulis sendiri pernah dididik beliau ketika di Tingkatan 4. Cara pengajaran beliau padat dengan aktiviti dan latih-tubi secara langsung di kelas dan tiada lambakan ‘homework’.
Beliau seorang guru yang berkeupayaan menjalin hubungan yang mesra dengan anak-anak murid demi melancarkan lagi interaksi dan pembelajaran. Rakan-rakan kita di kelas 5 Khaldun 1990 yang memang mempunyai jalinan erat dengan Cikgu Munahwar menggelar beliau sebagai ‘Mama’, sungguhpun usia beliau ketika itu masih 20an.
Di kampus Sungai Gadut, beliau memilih untuk tinggal di apartmen guru SDAR selama 5 tahun, membolehkan beliau meluangkan masa dan tumpuan yang lebih untuk anak-anak murid.
*(sila klik atas gambar berikut untuk lihat lebih jelas).
Cikgu Munahwar Sultanah Nazir... sepintas lalu
Kelahiran:
Seremban, NEGERI SEMBILAN (29 Dis 1963)
Pendidikan:
SPM (1980)
SMK Seri Ampangan Seremban, NS
STPM (1982)
SMK King George V Seremban, NS
Sarjana Muda Sastera (Kepujian), UNIVERSITI MALAYA (1986)
Diploma Pendidikan UNIVERSITI MALAYA (1987)
Kerjaya:
Guru
SMK Sungkai, PERAK (April -Nov 1987)
SDAR (1988- 2007)
SMK Mambau, NS (2008-2019)
Ketua Panitia subjek Bahasa Melayu (SDAR, SMK Mambau)
Setiausaha Hal Ehwal Murid (SMK Mambau)
Pemeriksa – SPM Bahasa Melayu Kertas 1 (10 tahun)
Pemeriksa – SPM Bahasa Melayu Kertas 2 (3 tahun)
Ahli panel mengubal soalan Peperiksaan Percubaan SPM, NS
Guru Pusat Sumber SMK Mambau (juara peringkat NS)
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC): 2000, 2012
Keluarga:
Berkahwin dengan En. Hashim bin Suleman pada 12 Dis 1987; dikurniakan 2 orang anak
Kedua-dua anak adalah SDARIAN: 2001 -2005 dan 2004-2008
Tiada lelah menongkah halangan ...demi impian murni
Setelah dua dekad bersama SDAR, Cikgu Munahwar berpindah ke SMK Mambau pada tahun 2008. Selesa dengan suasana dan kemudahan mengajar di SDAR yang jauh lebih kondusif, bertugas di sekolah harian pada mulanya ada memberi kejutan budaya kepada beliau.
Selain jurang keupayaan akademik yang lebar di antara pelajar-pelajar dalam sesuatu kelas, Cikgu Munahwar juga berdepan dengan suasana kelas yang terlalu riuh dan disiplin pelajar yang agak longgar. Ujar beliau, setiap kali kelas bermula sebahagian besar masa digunakan untuk menenangkan suasana kelas sebelum beliau dapat memulakan sesi pembelajaran!
Di sekolah harian, Cikgu Munahwar terpaksa banyak mengubah teknik pengajaran dengan ketara kerana terdapat pelajar-pelajar di situ yang kebolehan memahami Bahasa Melayu mereka adalah sangat terhad. Berbeza dengan ketika mengajar di SDAR di mana sasaran adalah lebih kepada pengekalan kecemerlangan, di sekolah harian sasaran untuk golongan pelajar yang lemah adalah semata-mata untuk lulus peperiksaan serta memberi kemahiran penggunaan bahasa yang asas sahaja.
Cikgu Munahwar memberitahu, beliau banyak menggalakan golongan pelajar ini untuk cuba bertutur dahulu dalam Bahasa Melayu dan beransur-ansur mengurangkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing ketika sesi sekolah sedang berjalan.
Dengan ketiadaan makmal bahasa, malah bilik bahasa sekali pun, Cikgu Munahwar merasakan dirinya ditarik kembali ke zaman mula-mula mengajar. Tanpa alat-bantu mengajar (teaching aids) yang sesuai dan hanya bergantung kepada kaedah “chalk and talk”, kekangan amat terasa.
Setelah beberapa tahun bergelumang dalam keadaan yang serba kekurangan tanpa nampak apa-apa rancangan penambahbaikan, akhirnya Cikgu Munahwar bertekad mengambil ikhtiar sendiri.
Pada tahun 2016 Cikgu Munahwar membentangkan kertas kerja kepada pihak pentadbiran sekolah untuk mengubahsuai sebuah bilik yang telah lama terbiar dan usang di suatu bangunan sekolah , dengan tujuan untuk dijadikan makmal bahasa. Tidak lama kemudian beliau sendiri memulakan kempen mencari sumbangan dana di luar dari sekolah. Hasil usaha gigih beliau, RM25 ribu berjaya dikumpulkan daripada para dermawan. Projek baikpulih dan pengubahsuaian pun dimulakan. Perabot, penyaman udara, peralatan pandang-dengar, peralatan teknologi maklumat dan berbagai-bagai alat-bantu pengajaran dilengkapkan dalam bilik tersebut.
Impian Cikgu Munahwar akhirnya tercapai apabila makmal bahasa ini mula digunakan pada awal tahun 2017. Beliau lega usaha ini menampakkan hasil apabila pelajar-pelajar mula menunjukkan peningkatan minat terhadap pembelajaran Bahasa Melayu yang dilangsungkan di makmal bahasa ini. Keselesaan, penggunaan peralatan dalam latihan bahasa yang mereka belum pernah alami serta aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dapat dilakukan dengan kemudahan-kemudahan baharu ini…semuanya secara beransur-ansur mencetuskan anjakan minda pelajar-pelajar beliau.
Malahan makmal bahasa ini turut menjadi lokasi pilihan untuk mesyuarat-mesyuarat sekolah kerana kemudahan-kemudahan yang tersedia di dalamnya. Cikgu Munahwar berasa gembira ‘brain child’ beliau ini mendatangkan manfaat untuk berbagai-bagai pihak.
Ketika Cikgu Munahwar berbicara tentang projek ini dalam sesi wawancara, penulis tidak terlepas berasa betapa agungnya usaha ini. Didorong oleh matlamat murni beliau ingin mewujudkan peluang kepada anak-anak murid mengalami suasana pembelajaran yang lebih selesa dan berkesan, dedikasi di luar batas tugas rasmi sebegini benar-benar mengkagumkan.
Persaraan
Ditanya berkenaan pendapat beliau tentang pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah, Cikgu Munahwar berpandangan bahawa tumpuan sukatan pelajaran harus lebih menjurus kepada melatih pelajar ke arah penggunaan bahasa yang betul dan tepat, dalam konteks yang lebih asas dan lebih relevan dalam kehidupan harian. Pandangan ini terbit berpandukan pengalaman beliau berkhidmat di sekolah harian biasa, di mana dapat dilihat ada golongan pelajar yang besar memerlukan kemahiran bahasa yang lebih praktikal dan tidak dibebani dengan elemen-elemen aras tinggi seperti Kompenen Sastera dan penulisan kreatif. Komponen sukatan pelajaran sebegini dirasakan Cikgu Munahwar lebih sesuai ditujukan kepada pelajar yang betul-betul mempunyai minat serta sudah mencapai tahap penguasaan bahasa yang mantap.
Sepanjang 32 tahun beliau berkhidmat, ada terbuka peluang untuk Cikgu Munahwar melangkah ke bidang pentadbiran sekolah. Namun hati naluri beliau lebih ingin kekal mendidik remaja-remaja hingga ke penghujung kerjaya.
Namun begitu di tahun-tahun akhir mengajar, kerja menghadap tulisan pelajar-pelajar berjam-jam lamanya beransur menjadi sukar apabila daya penglihatan beliau mula mengalami kemerosotan. Cikgu Munahwar memilih untuk bersara pada tahun 2019.
Meskipun mengakhiri kerjaya di SMK Mambau, dua dekad bersama SDAR adalah tempoh yang merakam berbagai-bagai kenangan manis untuk beliau. Kedua-dua anak Cikgu Munahwar juga adalah SDARian (batch 2005 dan 2008). Kini Cikgu Munahwar menetap di kawasan Senawang, Seremban bersama suami En.Hashim bin Suleman, menikmati alam persaraan.
*(sila klik atas gambar berikut untuk lihat lebih jelas).










